HomeUtamaSOP Perkahwinan Orang Islam Dilonggarkan

SOP Perkahwinan Orang Islam Dilonggarkan

Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU : Pengoperasian Pengurusan Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ (NCR) Orang Islam di Sabah dibawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan dilonggarkan berkuatkuasa serta merta.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia melibatkan beberapa aktiviti dengan memenuhi kehendak dan prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kerajaan Sabah.

Katanya, kelonggaran itu juga adalah selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 di Sabah yang bermula pada 8 November lalu.

“Operasi Kaunter NCR di seluruh pejabat JHEAINS daerah boleh dihadiri secara datang terus dengan syarat setiap pelanggan telah menerima lengkap vaksin , memakai pelitup muka dan sentiasa memastikan penjarakan fizikal.

“Ia meliputi Permohonan dan kelulusan kahwin (Wali Nasab, Pendaftaran kahwin , Cerai dan Ruju’, Pengesahan Dokumen NCR, Permohonan akad nikah, temujanji akad nikah (Setelah permohonan kahwin diluluskan oleh pendaftar perkahwinan,kebenaran nikah luar kariah (Daerah/Negeri) serta permohonan kursus pra perkahwinan Islam (bersemuka dan temuduga khas),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media disini hari ini.

Mohd Arifin berkata, pengoperasian kaunter Perkhidmatan NCR akan mula dibuka pada setiap hari bekerja iaitu Isnin hingga Jumaat bermula 8.30 pagi hingga 2.00 petang bagi hari Isnin hingga Khamis.

Katanya bagi pengoperasian hari Jumaat pula adalah bermula pada 8.30 pagi hingga 11.30 pagi. 

“Sebelum ini kaunter beroperasi cuma tiga  kali seminggu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Arifin berkata, pihak JHEAINS turut menyediakan perkhidmatan upacara akad nikah di pejabat JHEAINS terhad kepada lapan orang sahaja termasuk pasangan pengantin, wali, dua saksi dan  jurunikah pada waktu pejabat.

Katanya, Kursus Pra Perkahwinan secara bersemuka kini telah dibuka dengan had jumlah peserta tidak lebih 50 peratus dari ruang kursus dengan kadar bayaran RM90 bagi setiap seorang dan dijalankan selama sehari sahaja.

“Pihak JHEAINS juga menawarkan temuduga khas pra perkahwinan bagi menggantikan kursus pra perkahwinan secara bersemuka dengan kadar RM50 seorang.

“Bagi upacara akad nikah pula dibenarkan dilakukan di pejabat JHEAINS, masjid, surau dan premis lain seperti rumah dengan syarat individu yang hadir hendaklah lengkap divaksin dengan 50 peratus dari ruang premis, penjarakan fizikal, mematuhi protokol kesihatan umum.

“Upacara akad nikah di masjid atau surau pula hanya boleh diadakan didalam ruang khas, bukan di ruang solat dan hendaklah mendapat kebenaran pihak pengurusan Masjid atau surau,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ariffin berkata, individu yang memerlukan khidmat nasihat atau rundingcara keluarga pula harus membuat temujanji terlebih dahulu di pejabat JHEAINS.

“Saya berharap agar kelonggaran yang diberikan ini dapat memberikan manfaat kepada masyarakat Islam di negeri ini dan semua masyarakat perlu terus mematuhi SOP dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular