KPDNHEP Sabah Sita 5,567 Pakaian Sukan Pelbagai Jenama Terkenal Yang Disyaki Tiruan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah telah menyita 5,567 helai pakaian sukan pelbagai jenama terkenal yang disyaki tiruan dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM223,880.00.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, serbuan telah dijalankan di sebuah premis perniagaan di daerah Keningau pada 17 November 2021 dan tindakan diambil di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

“Operasi ini adalah hasil maklumat yang diterima daripada Randall Gateskill Risk Consultancy Sdn.Bhd. yang bertindak sebagai wakil kepada pemilik cap dagang berdaftar untuk jenama Adidas, Nike dan Puma yang disita di dalam kes ini, kata Georgie dalam satu kenyataan media hari ini.

Seramai 10 orang anggota terdiri daripada pegawai-pegawai penguat kuasa KPDNHEP Sabah dengan disertai oleh wakil pemilik cap dagangan barangan berkenaan telah terlibat di dalam serbuan yang dijalankan.

Menurut Georgie, pemilik premis perniagaan terbabit adalah disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan kes ini akan disiasat mengikut seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai barang-barang dengan cap dagangan yang dipakaikan dengan salah.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000.00 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000.00 bagi setiap barangan.

Katanya, kementerian ini akan terus menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Cap Dagangan 2019 bagi membanteras penjualan barangan tiruan dan aktiviti cetak rompak di pasaran.

“Para peniaga adalah diingatkan agar lebih bertanggungjawab serta menghormati harta intelek orang lain di samping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan.

“Manakala pengguna juga dinasihati supaya tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya”, tegasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *