KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya Sabah mengambil beberapa tindakan segera bagi menangani gangguan bekalan air yang menimbulkan kemarahan penduduk di Universiti Utama Condominium (UUC), Telipok, dekat sini.
Ia termasuk melaksanakan penghantaran air ke kawasan terjejas 24 jam sehari sehingga kerja pembaikan pam di Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 1, Tuaran siap sepenuhnya yang dijangka dalam tempoh 10 hari bermula semalam.
Menterinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata tindakan itu hanya untuk jangka pendek bagi menyelesaikan segera masalah dihadapi penduduk.
Katanya, tindakan susulan juga akan dibuat berdasarkan kajian dan bengkel mengenai isu air di Sabah, terutama di kawasan yang dikenal pasti berdepan masalah serius.
“Ini adalah tindakan pantas yang diambil oleh Kementerian Kerja Raya Sabah bagi menangani isu bekalan air bersih di beberapa kawasan.
“Tindakan ini berbentuk jangka pendek dan tindakan susulan akan dibuat berdasarkan kajian serta bengkel yang telah dibuat.
“Isu atau masalah bekalan air di beberapa kawasan yang terlibat amat serius, perkara ini berlaku sejak beberapa tahun yang lalu dan pada ketika ini ia amat ketara sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah mengulas kemarahan penduduk yang berdepan ketiadaan air hingga menjejaskan rutin harian mereka seperti viral di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Penghantaran bekalan air ke kawasan perumahan terjejas sudah dilaksanakan sejak 6 November lalu, namun kekerapan penghantaran sebelum ini dilihat tidak dapat menampung keperluan pengguna.
Selain itu, Kementerian Kerja Raya negeri turut mengarahkan pengendali LRA Telibong 1, Jetama Sdn Bhd untuk menambah lori penghantaran air bagi meningkatkan bekalan air kepada pengguna di UUC dan Universiti Condo Apartment (UCA) 2.
Bagi UUC, sebanyak 4.5 juta liter sehari (MLD) diperlukan untuk memenuhkan tangki imbangan dan 4.9 MLD untuk tangki simpanan, manakala di UCA 2, sebanyak 2.8 MLD diperlukan untuk tangki imbangan dan 5.5 MLD bagi tangki simpanan.
Perkhidmatan lori penghantaran air tidak melalui meter pukal dan ia adalah secara percuma.
Pada masa yang sama, pihak kementerian turut mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk memaklumkan status semasa bekalan air di kawasan yang terjejas kepada Kementerian Kerja Raya negeri.
Langkah segera itu diputuskan pada Mesyuarat Khas Kementerian Kerja Raya Sabah mengenai isu bekalan air di UUC dan UCA 2 yang diadakan semalam.
Sementara itu, pihak pengurusan perumahan turut memohon supaya penggunaan lori tangki untuk menghantar bekalan diteruskan, menambah pam dan hos untuk mengepam air ke tangki simpanan, mencadangkan kepada JANS untuk membuat ‘diversion’ bekalan air 10 jam sehari dan memperkemaskan perkhidmatan ‘careline’ JANS.
Bung Moktar berkata, beliau akan membentangkan kertas cadangan kepada Kabinet Negeri mengenai usaha mengatasi masalah air di Sabah dalam masa terdekat.
“Perkara ini bukan mudah kerana melibatkan berbillion-billion ringgit perlu dibelanjakan. Mungkin sudah tiba masa pengurusan air perlu dipertanggungjawabkan kepada badan ketiga untuk mengurus air di Sabah.
“Rakyat Sabah berhak menikmati bekalan air bersih seperti di negeri yang lain. Saya memohon maaf di atas sebarang kesulitan dan gangguan yang berlaku amat dikesali,” katanya.