Warga Emas Pesakit Kanser Terima Kunjungan ADUN Tamparuli

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:54 Second

TAMPARULI: Derita seorang warga emas yang mengalami penyakit kanser, di Kampung Timbou, dekat sini, mendapat perhatian Wakil Rakyat Tamparuli, Datuk Jahid Jahim.

Kelmarin (Khamis) Insing Tarajun, 79 tahun, yang merupakan mantan Ketua Kampung, menerima lawatan mengejut Jahid bersama rombongan kepimpinan dari Tamparuli di rumahnya.

Kehadiran Jahid benar-benar memberi kejutan kepada keluarga tersebut, apatah lagi Insing, yang turut mempunyai kerinduan bertemu pemimpin tersebut sekian lama.

Sepanjang pertemuan mereka, Insing melahirkan rasa terharu dan rindunya terhadap pemimpin berkenaan.

Menurut Jahid, beliau menerima makluman mengenai keadaan terkini Insing, daripada salah seorang ahli keluarganya, justeru beliau mengambil keputusan membuat lawatan tersebut tanpa dirancang.

Jahid, yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, turut melahirkan kesyukuran kerana Insing tetap kuat semangat walaupun kini tidak lagi sihat seperti sebelumnya.

“Kita doakan agar beliau (Insing) diberi kesembuhan dan kekuatan untuk meneruskan kehidupan seperti sediakala,” katanya.

Pada lawatan tersebut, Jahid turut menyampaikan bantuan bakul makanan dan sedikit sumbangan peribadi beliau kepada Insing.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, Pemaju Mukim, Rizkam Yabin dan Wakil Ketua Anak Negeri (WKN).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *