Projek Pencarian Inovasi Berasaskan Bekalan Air Bersih Manfaatkan Penduduk Kampung Sapatalang, Pitas

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 8 Second

PITAS: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Sri Dr. Adham Baba telah merasmikan Program Pencarian Inovasi Berasaskan Bekalan Air Bersih yang memberi manfaat kepada penduduk di Kampung Sapatalang, Daerah Pitas, Sabah pada Ahad (21 November 2021).

Projek yang dijayakan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), agensi di bawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan inisiatif pemindahan ilmu serta memperkasakan penggunaan teknologi supaya permasalahan dalam komuniti dapat diselesaikan secara bersama dan lestari dalam semangat Keluarga Malaysia.

Dato’ Sri Dr. Adham Baba berkata, “MOSTI komited dalam membangunkan inisiatif pencarian air menggunakan teknologi inovatif yang berfokuskan rakyat bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat secara inklusif terutama penduduk luar bandar dan terpinggir.

Katanya, melalui projek ini, YIM dan UMS telah mengenalpasti masalah utama bekalan air bersih yang dihadapi oleh penduduk kampung yang disebabkan oleh punca mata air yang sering tersumbat.

“Projek Pencarian Inovasi berasaskan bekalan air bersih ini melibatkan inovasi teknologi kejuruteraan dan sosial bagi membolehkan kemudahan asas ini dibekalkan kepada masyarakat di Kampung Sapatalang, Pitas, Sabah”, ujarnya.

Menurut Adham, pelaksanaan projek inovasi ini, yang dijalankan selama lima bulan dengan peruntukan dari YIM, dapat membantu masyarakat setempat memperolehi sumber air bersih dan secara tidak langsung, meningkatkan kualiti kehidupan dan produktiviti.

“Bekalan air bersih adalah isu utama yang dihadapi oleh penduduk kampung Sapatalang disebabkan punca mata air sering tersumbat dengan sampah seperti daun kering dan lumpur yang menutup laluan keluar mata air. Ini menyebabkan masyarakat di sini bergantung kepada air hujan untuk bekalan air memandangkan kampung ini terletak agak jauh dari sungai,” jelasnya.

Dalam usaha untuk memastikan bekalan air bersih yang berterusan, projek ini turut melibatkan penambahbaikan kepada sistem penapisan air bersih.

Antara kerja-kerja yang dilaksanakan adalah membangun dan menaiktaraf sistem bekalan air dari sumber mata air iaitu air bawah tanah dan tangki simpanan di kawasan tadahan serta meletakkan kemudahan sistem penapisan air yang telah dijalankan oleh pihak UMS di kawasan tadahan air Kampung Sapatalang.

Manakala, bekalan air bersih ini disambung terus ke Dewan Masyarakat Kampung Sapatalang yang merupakan pusat tumpuan penduduk untuk mengadakan aktiviti.

Dalam pada itu, Adham turut menyatakan bahawa MOSTI komited dalam memperluas inisiatif merakyatkan sains, teknologi dan inovasi untuk pertumbuhan ekonomi (STIE) melalui program inovasi sosial.

Antara program inovasi sosial yang akan dijalankan oleh MOSTI di Sabah adalah pembukaan Ruang Reka Flagship STIE Keluarga Malaysia yang merupakan sebuah ruang yang lengkap bagi menggarap idea kreatif dan inovatif dalam menangani isu setempat.

“Justeru itu, MOSTI akan meneruskan kolaborasi dengan Insititut Pengajian Tinggi untuk menyampaikan lebih banyak program inovasi sosial yang berfokuskan rakyat khususnya bagi membantu penduduk di luar bandar dan golongan terpinggir”, katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *