Maritim Malaysia, KPDNHEP Banteras Penyeludupan Barang Kawalan Di Perairan Tawau

Read Time:1 Minute, 35 Second

TAWAU :  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tawau dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Tawau telah menjalankan operasi bersepadu bagi memantau kegiatan penyeludupan barang kawalan di sekitar perairan Tawau semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, operasi yang dijalankan merangkumi pemeriksaan jeti-jeti pemunggahan barang, pemeriksaan ke atas bot kargo tempatan dan pemeriksaan ke atas setor-setor barang kawalan yang berdaftar di kawasan Pulau Sebatik.

Katanya, dalam operasi itu, dua bot peronda Zon Maritim Tawau iaitu Banggi 30 dan Banggi 12 dengan kekuatan anggota seramai 12 anggota dan seorang pegawai telah diatur gerak bersama dua pegawai dan dua anggota penguatkuasa KPDNHEP cawangan Tawau.

“Hasil pemeriksaan di jeti pemunggahan dan setor berdaftar di sekitar Pulau Sebatik termasuk setor simpanan barang di Kampung Mentadak Baru, mendapati pihak peniaga tempatan mematuhi undang- undang yang ditetapkan mengikut syarat lesen yang dikeluarkan oleh KPDNHEP.

“Pemeriksaan selanjutnya dijalankan di Jeti Sri Makmur, Tanjung Batu bagi memantau aktiviti penurunan barang-barang runcit yang dibawa ke Pulau Sebatik,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Siva Kumar berkata, pemantauan juga mendapati tiada perlanggaran undang-undang dikesan sepanjang proses penurunan barang dilakukan.

Katanya, pihak pemborong turut dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

“Sepanjang operasi ini juga, enam vesel kargo telah diperiksa oleh bot peronda Maritim bagi memastikan tiada perlanggaran undang-undang yang dilakukan.

“Secara keseluruhan, operasi ini dilihat mampu untuk membuka mata komuniti setempat agar sentiasa mematuhi undang-undang yang diperuntukkan khususnya dalam Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2015.

“Kerjasama dua hala Maritim Malaysia dan KPDNHEP ini dilihat dapat memberi impak yang lebih berkesan bagi membanteras kegiatan penyeludupan barang-barang kawalan di sekitar perairan Tawau,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh membuat aduan kecemasan dan menyalurkan maklumat jenayah di perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752115 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *