UMS-Petronas Meterai Perjanjian Pacu Pengetahuan Bidang Teknikal

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 48 Second

KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) baru-baru ini bagi memacu perkongsian pengetahuan industri-akademik dalam bidang teknikal.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), MoU tersebut dikenali sebagai Collaboration with Higher Education Strategic Initiative (CHESS) dan turut melibatkan beberapa Universiti Awam (UA) lain.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun berkata, MoU ini bukan sahaja memberi impak yang tinggi dalam bidang kejuruteraan di Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS, tetapi ia juga bakal memberi manfaat kepada bidang-bidang lain di UMS.

’’Di bawah kolaborasi CHESS ini, kita berharap ia dapat meningkatkan daya saing pelajar dari segi pengetahuan dan kebolehpasaran, meningkatkan inovasi dan seterusnya meningkatkan kelestarian dalam bidang akademik serta pembangunan dan penyelidikan.

“Kerjasama ini juga akan dapat membantu pelajar dan pensyarah untuk mendapatkan bimbingan dari industri terutama yang melibatkan latihan industri, pengembangan kemahiran, dan juga untuk penempatan pekerjaan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas upacara menandatangani MoU di Kuala Lumpur.

Menurut Taufiq, kolaborasi itu juga mampu mempertingkatkan hubungan dua hala antara universiti dan industri.

Ujarnya, keterlibatan program bersama dengan industri adalah salah satu kriteria dalam penilaian akredatasi bagi Engineering Accreditation Council (EAC).

“Oleh itu, MoU ini secara langsung dapat membantu menjayakan penilaian akredatasi bagi program yang ditawarkan di Fakulti Kejuruteraan.

“Dalam masa sama, kolaborasi ini juga meningkatkan lagi keterlihatan UMS sebagai sebuah  institusi yang mempunyai jaringan kukuh dengan industri, disamping boleh menambahkan keyakinan terhadap pemegang taruh universiti,” jelas Taufiq sambil memaklumkan bahawa ramai graduan UMS kini berkhidmat dengan PETRONAS.

Sementara itu Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek dan Teknologi PETRONAS, Hj. Bacho Pilong berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk mencipta impak sosial yang positif berpandukan agenda kelestarian yang digariskan.

“Pembangunan bakat melalui inisiatif berkaitan pendidikan merupakan salah satu cara PETRONAS menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya yang juga Profesor Adjung di UMS.

Selain UMS, turut memeterai MoU bersama PETRONAS ialah Universiti Putra Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Sains Malaysia.

Hadir sama, Dekan FKJ UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Ismail Saad

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *