COVID-19 : KK Kekal Penyumbang Utama Kes Jangkitan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU : Beberapa daerah di Sabah mencatatkan pertambahan kes baharu jangkitan COVID-19 yang agak tinggi menyebabkan jumlah kes harian meningkat tinggi kepada 526 kes hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes kumulatif harian itu adalah tambahan sebanyak 41 kes berbanding semalam.

“Antara daerah yang mencatatkan pertambahan kes yang ketara ialah Kota Marudu (+27), Beaufort (+33), Papar (+23), Telupid (+22) dan Tambunan (+12).

“Kota Kinabalu turun 60 kes, namun kekal menjadi penyumbang utama kepada kes harian di Sabah dengan 101 kes,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, kes harian di Tuaran juga menurun dengan banyak (-43) kepada 19 kes dan Ranau turun 14 kes kepada 19.

Katanya, kes-kes sporadik (saringan bergejala) kekal tinggi pada hampir 41 peratus berbanding 52 peratus bagi kes-kes kontak rapat.

“Statistik ini membimbangkan kerana ia cerminan kepada sikap alpa dan lalai keatas pematuhan prosedur standard operasi (SOP) oleh sebahagian masyarakat.

“Mereka yang sudah lengkap divaksin juga merupakan kumpulan terbesar kes-kes jangkitan baharu setiap hari,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, rakyat terus diingatkan bahawa vaksin tidak memberi perlindungan 100 peratus.

Katanya, sikap kita adalah pelengkap kepada pertahanan daripada jangkitan.

“Daripada 526 kes baharu hari ini, 515 kes atau 98 peratus adalah dalam Kategori 1 dan 2.

“Tiga pesakit adalah dalam Kategori 3, empat pesakit dalam Kategori 4 dan satu pesakit dalam Kategori 5. Tiga kes lagi masih dalam penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, sehingga semalam, kadar kebolehjangkitan atau R0 / RT bagi Malaysia ialah 1.0 tetapi bagi Sabah, kadar ini telah naik melepasi 1.0 kepada 1.01.

“Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan telah memberi peringatan kepada semua rakyat agar sentiasa berwaspada bagi mengelak berlaku satu lagi pandemik yang serius seperti yang berlaku sebelum ini.

“Sikap kita penentu utama kepada kejayaan kita melawan jangkitan virus COVID-19,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *