Mesyuarat JCC – Tawaran Lebih Baik Untuk Sabah, Sarawak

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:54 Second

BERNAMA

KOTA KINABALU — Tawaran yang lebih baik untuk Sabah dan Sarawak sedang dibincang dengan kerajaan melalui Jawatankuasa Perundingan Bersama (JCC) mengenai Geran Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata JCC itu, yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Datuk Tengku Zafrul Abdul Aziz, dijangka bermesyuarat secepat mungkin bagi membincangkan isu itu dengan lebih lanjut.

Beliau berkata semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), semakan kewangan dan geran tahunan di bawah Perkara 112D serta pembayaran balik 40 peratus pendapatan dan hasil yang diperoleh dari Sabah telah diselesaikan namun kerajaan negeri menolak tawaran itu kerana formula PH tidak menjelaskan bagaimana mereka memperoleh jumlah itu.

“Sarawak turut menolak formula PH atas alasan yang sama. Kedua-dua negeri ingin tahu bagaimana formula itu diperoleh dan sama ada ia menggambarkan jumlah yang betul untuk apa yang harus dibayar kepada Sabah serta Sarawak.

“Sabah mahupun Sarawak juga inginkan satu formula yang telus, selaras dengan apa yang seharusnya dibayar kepada kedua-dua negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan,” menurut Ongkili dalam kenyataan malam ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *