HomeUtama9 Premis Perniagaan Diambil Tindakan KPDNHEP Sabah Dalam Ops Menu

9 Premis Perniagaan Diambil Tindakan KPDNHEP Sabah Dalam Ops Menu

Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU: Sebanyak sembilan buah premis perniagaan telah diambil tindakan dalam satu Operasi Menu (Ops Menu) yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh Sabah sejak 5 November lalu.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, pemeriksaan Ops Menu yang dijalankan itu adalah bagi memastikan peniaga yang membabitkan restoran dan kedai makan agar mematuhi perundangan yang ditetapkan.

Katanya, ia termasuklah tanda harga serta penggunaan alat timbang dan seterusnya mengelakkan penipuan harga selain manipulasi timbangan.

“Pemeriksaan di bawah Ops Menu yang dijalankan pegawai KPDNHEP Sabah itu telah memeriksa sebanyak 874 premis perniagaan di seluruh Sabah.

“Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak sembilan premis perniagaan telah diambil tindakan iaitu empat kes melibatkan kegagalan peniaga meletakkan tanda harga yakni satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Perkhidmatan) 2020.

“Keempat-empat kes terbabit telah dikompaun dengan jumlah RM 1,200 seterusnya, lima kes dihasilkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana peniaga gagal menentusahkan alat timbang yang digunakan untuk tujuan perdagangan,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Georgie berkata, empat daripada lima kes tersebut telah dikompaun dengan jumlah RM1,000 manakala satu kes masih dalam siasatan lanjut.

Katanya, di bawah AKHAP (Penandaan Harga Bagi Barangan Dan Caj Perkhidmatan) 2020, mana-mana orang yang disabitkan atas suatu kesalahan di bawah Akta ini boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi mana-mana pertubuhan perbadanan yang disabitkan atas suatu kesalahan di bawah Akta ini selanjutnya boleh didenda tidak melebihi RM100,000.

“Manakala bagi suatu kesalahan yang disabitkan di bawah Akta Timbang Dan Sukat 1972, denda tidak melebihi RM40,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun boleh dikenakan ke atas pihak yang terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Georgie berkata, fokus pemeriksaan Ops Menu adalah terhadap premis yang menyediakan makanan siap masak seperti restoran dan kedai makan Melayu, Cina, India, medan selera dan restoran makanan laut.

Katanya, pengguna adalah dinasihatkan agar bijak memilih restoran dan kedai makan yang beretika dengan memastikan tanda harga ada dipamerkan dengan jelas oleh peniaga serta alat timbang yang digunakan di restoran dan kedai makan adalah masih sah tempoh penentusahannya bagi mengelakkan diperdaya oleh segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab.

RELATED ARTICLES
Utama

Angin kencang landa Semporna, 35 rumah dan 20 kenderaan terjejas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular