MAFI laksana enam langkah tangani kesan perubahan iklim bagi tanaman padi

Read Time:1 Minute, 38 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Nov — Enam langkah telah dilaksanakan bagi menangani kesan perubahan iklim khususnya bagi tanaman padi di negara ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata antara langkah yang diambil adalah pembangunan dan penggunaan varieti yang tahan banjir atau tahan kemarau dan pembangunan varieti benih padi yang tahan kepada air masin sekiranya berlaku sebarang kesan limpahan air laut ke kawasan penanaman padi.

“Ketiga, penggunaan Peta Agricultural Rainfall Index (ARI) dan Peta Tanah untuk menentukan kesesuaian tanaman di suatu kawasan serta merancang sistem perparitan dan pengairan;

“Keempat, meningkatkan kaedah penanaman padi berdasarkan panduan menguruskan tanaman padi mengikut sasaran,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, beliau berkata MAFI turut mengambil langkah membina kelengkapan infrastruktur amalan pengairan sawah atau Alternate Wetting and Drying (AWD) serta memperkenalkan insurans pertanian untuk mengurangkan risiko kerugian melibatkan bencana disebabkan kesan perubahan iklim.

Ronald berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) yang bertanyakan langkah kerajaan dalam menangani perubahan iklim yang memberi kesan kepada industri pertanian negara. 

Beliau berkata selain perubahan iklim, MAFI mengenal pasti cabaran utama menjelang 10 tahun akan datang dalam sektor agromakanan yang perlu ditangani, iaitu kekurangan sumber asli, produktiviti dan inovasi pertanian, perubahan demografi dan peralihan trend pemakanan, kehilangan dan pembaziran makanan.

“Sepanjang tempoh lima tahun daripada 2017 sehingga 2021 seluas 40,828 hektar tanaman padi musnah akibat banjir di Semenanjung Malaysia, manakala 9,336 hektar pula mengalami kerosakan akibat kemarau,” katanya. 

Oleh itu, beliau berkata dalam usaha menangani cabaran perubahan iklim, MAFI melalui Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 (Pelan DSMN) antara lain, akan mempergiatkan pertanian mampan yang mesra alam dan berdaya tahan terhadap iklim.

Katanya ini bertujuan mengurangkan impak perubahan iklim terhadap sektor agromakanan serta memperluaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk meningkatkan pengeluaran makanan dengan kaedah teknologi berasaskan iklim.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *