KOTA KINABALU : Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-257 di Istana Negara Kuala Lumpur hari ini.
Hajiji berkata, ia merupakan salah satu medan yang penting untuk membincangkan secara lebih mendalam serta membolehkan penambahbaikan ke atas dasar-dasar sedia ada.
“Ia termasuklah dasar-dasar yang akan dilaksanakan dalam usaha membaikpulih semula ekonomi serta menangani wabak COVID-19 dengan lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-257 itu telah dipengerusikan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Negara di sini.
Mesyuarat berlangsung selepas kali terakhir diadakan ketika mesyuarat ke-256 pada 19 dan 20 Februari 2020 yang dipengerusikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.