Sabah FC Perlu Pemain Berkualiti Hadapi Saingan Musim Depan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee tidak menolak kemungkinan akan membawa masuk beberapa pemain berkualiti dari kelab lain bagi mengikat kontrak beraksi bersama skuad ‘The Rhinos’ musim depan.

Katanya, pemain berkualiti seperti Khairul Fahmi Che Mat, Baddrol Bakhtiar, Irfan Fazail dan beberapa pemain lagi diyakini mampu memberikan saingan kepada pasukan-pasukan ternama dalam Liga Super 2022.

“Pada ketika ini masih terlalu awal untuk kita mengumumkan secara rasmi pemain-pemain baharu yang bakal beraksi bersama Sabah FC musim depan.

“Bagi memberi saingan kepada pasukan-pasukan lain, kita perlu membawa masuk pemain-pemain yang cukup berkualiti seperti Khairul Fahmi Che Mat, Baddrol Bakhtiar, Irfan Fazail dan beberapa pemain lagi,” katanya disini hari ini.

Bagaimanapun bagi Kim Swee, nama-nama pemain berkualiti yang disebut-sebut menyertai Sabah FC itu hanya satu spekulasi yang ditularkan di media sosial.

Katanya, apa yang penting bagi beliau adalah harus berbincang dengan pihak pengurusan terlebih dahulu terutamanya daripada segi bajet pasukan untuk musim depan.

“Saya tidak boleh memilih pemain secara sesuka hati tanpa mengikut kriteria perbelanjaan yang ditetapkan pihak pengurusan Sabah FC.

“Pada saya sudah tentu kita inginkan beberapa pemain yang mempunyai mutu permainan berkualiti tinggi untuk mencapai keputusan baik dalam saingan Liga Super 2022,” katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee berkata, pihaknya juga sudah mengenalpasti beberapa pemain tempatan untuk dicadangkan kontrak baharu musim depan berdasarkan kemampuan kewangan Sabah FC.

“Setiap tahun pasti semua kelab akan membeli, menjual atau mengekalkan para pemain mereka dan sama juga dengan pasukan Sabah sudah tentu ada pemain yang tidak akan disambung kontrak dan ada juga pemain yang akan disambung kontrak,” katanya.

Sementara itu, Kim Swee berkata senarai rasmi pemain-pemain Sabah FC musim depan hanya diketahui selewat-lewatnya awal Disember ini.

“Apa yang boleh kita kongsikan di sini, Sabah FC melakukan perancangan rapi untuk mengekalkan berapa pemain utama yang sudah menunjukkan prestasi yang memberansangkan sepanjang musim ini,” katanya.

One thought on “Sabah FC Perlu Pemain Berkualiti Hadapi Saingan Musim Depan

  1. Perancangan rapi terutama kelemahan medfeld Dan ketumpulan serangan serta kemantapan pertahanan perlu diutamakan. Pasukan yang baik, mantap Dan disanjungi bole mengaut keuntungan kepada pengurusan Sabah FC dengan kehadiran penuntun ke Stadium melalui pembelian teket.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *