HomeIsu tempatanPENJANA KPT-CAP Tangani Kebolehpasaran Graduan Dan Pengangguran Akibat COVID-19

PENJANA KPT-CAP Tangani Kebolehpasaran Graduan Dan Pengangguran Akibat COVID-19

Read Time:1 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melaksanakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi menangani cabaran kebolehpasaran graduan dan mengurangkan pengangguran akibat pandemik COVID-19.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Raman Noordin berkata, inisiatif kerajaan yang dikenali sebagai PENJANA KPT-CAP itu bertujuan membantu graduan meningkatkan kemahiran serta mendapat penempatan pekerjaan selepas tamat program pengajian.

“Program ini merupakan platform terbaik untuk meningkatkan lagi kemahiran insaniah graduan sebagai nilai tambah selain daripada softskill yang diperoleh semasa menimba ilmu di universiti.

“Di peringkat UMS, kita merupakan salah satu Institusi Pengajian Tinggi awam yang melaksanakan inisiatif ini bagi memastikan graduan memiliki daya saing yang tinggi dan mempunyai kompetensi yang relevan bagi menjamin kebolehpasaran mereka di alam pekerjaan,” katanya.

Raman berkata demikian ketika berucap melancarkan Program PENJANA KPT-CAP bagi Kursus Perunding Unit Amanah yang dianjurkan dengan kerjasama PMB Investment Berhad, di sini, baru-baru ini.

Ujar beliau, program PENJANA KPT-CAP sepatutnya dilaksanakan pada awal tahun 2020 bagi membantu graduan tahun 2019 dan tahun 2020 mendapatkan latihan dan penempatan pekerjaan.

“Tetapi dengan kekangan situasi semasa pandemik Covid-19 menyebabkan program ini terpaksa ditangguh sehingga bulan September 2021.

“Syukur ke hadrat Allah SWT program ini dapat dilaksanakan dengan sokongan KPT dan semangat yang jitu daripada semua peserta yang terlibat.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) selaku pelaksana program ini di peringkat UMS,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Kumpulan Interim merangkap Pengarah PMB Investment Berhad, Dato’ Zulfikri Osman; Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni UMS, Dr. Soon Singh Bikar Singh; dan Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Berhad Mahani Ibrahim.

Dalam pada itu, Soon memaklumkan, UMS sebelum ini telah mengadakan lima program di bawah PENJANA KPT-CAP, antaranya Kursus Aircraft Manufacturing Technology; Certified Drone Precision Agriculture Proficient; Industrial Internet of Things; Kursus Pengurusan Acara Karnival dan Jualan; dan Kursus Pengurusan dan Perniagaan dalam Muzik.

“Pada kursus Perunding Unit Amanah kali ini, ia diadakan dengan objektif bagi memberi pengetahuan dan ilmu berkaitan bidang kewangan dan pelaburan kepada peserta.

“Selain itu, ia bagi menyediakan peluang kerjaya kepada para graduan UMS yang telah bergraduat dan belum bekerja.

“Sebanyak 100 graduan UMS mengambil bahagian dalam kursus yang berlangsung selama 42 hari yang dilaksanakan secara hibrid iaitu atas talian dan secara fizikal,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Tun Juhar terima kunjungan Duta Uruguay

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya