Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Tiga atlet Para Sabah iaitu atlet renang Brenda Anellia Larry, atlet olaraga Heronlee Wong dan atlet ping pong Brady Chin Zi Rong dipilih mewakili Malaysia ke Sukan Para Remaja Asia Bahrain 2021 yang akan berlangsung selama lima hari bermula 2 hingga 6 Disember 2021.
Mereka diiringi oleh jurulatih Wong Hie Ming dan seorang pengiring Maria Lucas.
Presiden Persatuan Sukan Dan Rekreasi Untuk Orang Kurang Upaya Negeri Sabah (PESRON) Tan Hwa Koon berkata, mereka akan menjalani latihan berpusat selama dua hari di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia (PKSPM) dan akan menuju ke Bahrain pada 28 November 2021 ini.
“Saya tidak sabar untuk melihat lebih ramai atlet Para Sabah mewakili Malaysia dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam pada itu, Tan bersama beberapa ahli persatuan itu turut hadir ke Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu bagi memberi sokongan dan semangat kepada tiga peserta Atlet Para Sabah sebelum berlepas ke Kuala Lumpur semalam.