HomeUtamaKontraktor Diarah Bayar RM36,358.85 Gagal Siap Ubahsuai Rumah

Kontraktor Diarah Bayar RM36,358.85 Gagal Siap Ubahsuai Rumah

Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU : Gara-gara tidak menyiapkan sebahagian kerja-kerja pengubahsuaian rumah selain melanggar perjanjian, seorang kontraktor telah diarah oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Kota Kinabalu untuk membayar sebanyak RM36,358.85 kepada seorang pengguna.

Difahamkan, pengguna telah membuat pengubahsuaian rumah yang dikendalikan oleh kontraktor berkenaan di mana kerja-kerja pengubahsuaian telah bermula pada Februari 2020 dan terhenti pada Disember 2020.

Selain itu, pengguna juga telah membuat bayaran penuh kepada pihak kontraktor untuk pembelian bahan binaan dan upah buruh, namun sebahagian kerja-kerja pengubahsuaian tidak disiapkan oleh pihak kontraktor.

Ekoran dari itu, pengguna mendapati bahawa pihak kontraktor telah melanggar perjanjian di mana kerja-kerja pengubahsuaian rumah tidak dilakukan mengikut jumlah bayaran yang diterima.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah Georgie Abas berkata, pembayaran yang diarahkan itu dibuat secara tunai oleh pihak kontraktor  pada 25 November lalu bertempat di TTPM Kota Kinabalu dan telah disaksikan sendiri oleh pegawai TPPM Kota Kinabalu.

Katanya, kes ini telah didengar pada 16 November lalu di dalam Mahkamah TTPM di Kota Kinabalu.

“Presiden telah memberikan Award di mana pihak kontraktor hendaklah membayar RM36,358.85 kepada pengguna dalam tempoh 14 hari dari tarikh Award,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Dalam pada itu, Georgie berkata, sebanyak 146 kes yang didaftarkan bagi tahun 2020 sehingga semalam, sejumlah 143 kes telah berjaya diselesaikan.

“Bagi tahun 2021 pulai sehingga semalam, sebanyak 104 kes telah didaftarkan dan sebanyak 66 kes telah diselesaikan.

“Sejak Negeri Sabah masuk ke Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4, banyak kes yang tertangguh dapat diselesaikan berikutan kelonggaran pergerakan,” katanya.

Dalam pada itu, Georgie berkata, orang ramai disarankan untuk mengenali dengan lebih dekat fungsi dan bidang kuasa TTPM bagi memudahkan masyarakat menyelesaikan masalah sekiranya berlaku sebarang tuntutan akibat kecuaian atau pelanggaran perjanjian antara pengguna dengan pembekal.

Katanya, sebagai makluman, TTPM mendengar tuntutan yang difailkan bagi kes-kes tebus rugi pembelian barang dan perkhidmatan untuk hal perkara yang dibenarkan di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999 dengan jumlah amaun tuntutan tidak melebihi RM50,000.

“TTPM ditubuhkan bagi menyediakan satu saluran alternatif selain mahkamah sivil untuk pengguna menuntut tebus rugi berkenaan pembelian barang atau perkhidmatan yang dibekalkan daripada peniaga atau pembekal perkhidmatan dengan cara yang mudah, murah dan cepat,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pendidikan berlandaskan Al-Quran teras lahir modal insan perkasa bangsa, negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya