Syarikat Penerbangan Domestik Diarah Turunkan Harga Tambang – Wee Ka Siong

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 32 Second

KUALA LUMPUR: Kerajaan memahami keresahan dan maklum balas orang ramai mengenai harga tambang penerbangan yang terlalu tinggi menjelang musim cuti penghujung tahun ini dan awal 2022. Secara khususnya, ramai yang telah melahirkan rasa marah terhadap tambang penerbangan ke Sarawak yang luar biasa tinggi.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kerajaan memandang serius perkara ini dan telah mengadakan perbincangan dengan semua pemegang taruh bagi menyelesaikan isu yang memberi kesan kepada orang ramai, daripada pengembara hinggalah kepada ahli keluarga yang mereka rindui untuk bertemu semula setelah sekian lama berpisah akibat pandemik COVID-19.

Suaulan perkara itu, Ka Siong dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah terlibat secara aktif dengan pemain-pemain industri dan kerajaan negeri termasuk Sarawak untuk meningkatkan kekerapan penerbangan ke semua destinasi termasuk mengambil kira usaha-usaha berterusan dalam membendung penularan COVID-19 di seluruh negara.

“Seperti yang telah saya nyatakan dalam kenyataan bertarikh 3 dan 6 November 2021 lalu, antara jalan penyelesaian terbaik adalah dengan menambah kekerapan penerbangan ke pelbagai negeri. Dengan itu, tambang penerbangan akan ditentukan oleh mekanisme penetapan harga secara dinamik yang dipacu oleh pasaran dengan mengambil kira bekalan dan permintaan, keadaan ekonomi, kos bahan api, dan faktor operasi-operasi lain yang berkaitan,” katanya.

Menurut Ka Siong, MOT telah menulis surat kepada Menteri Pengangkutan bagi negeri Sarawak, Datuk Lee Kim Shin pada 18 November 2021 untuk meminta Kerajaan Negeri mengembalikan keputusan mengawal selia frekuensi perkhidmatan penumpang udara kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

“MOT memahami sepenuhnya dan selaras dengan keperluan Sarawak untuk membendung COVID-19, kerajaan negeri dan agensi berkaitan mesti memainkan peranan masing-masing bagi memastikan perkhidmatan dan permintaan bergerak seimbang serta membenarkan syarikat penerbangan meningkatkan frekuensi perkhidmatan mereka berdasarkan pengoperasian yang dipacu oleh pasaran. Pada masa sama, semua pihak juga bertanggungjawab untuk mematuhi protokol Kementerian Kesihatan bagi mengekang penularan COVID-19.

“Oleh itu, berdasarkan keputusan Kabinet semalam, MOT telah memanggil syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo untuk bermesyuarat dengan menekankan keperluan untuk mengurangkan tambang penerbangan bagi membolehkan lebih ramai penumpang dapat menikmati tambang penerbangan yang lebih rendah bagi tempoh akhir tahun ini,” jelasnya.

Katanya, sejurus pertemuan ini, Malaysia Airlines telah berjanji untuk menambah penerbangan tambahan ke Sarawak pada bulan Disember, sekaligus berupaya mengurangkan kadar tambang ke negeri tersebut.

MAVCOM dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga bersedia untuk meluluskan lebih banyak lagi kekerapan penerbangan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak dan Kementerian Pengangkutan Sarawak telah memutuskan untuk meningkatkan kekerapan penerbangan daripada 223 kepada 307 penerbangan seminggu ke Sarawak kepada Malaysia Airlines, Firefly, AirAsia, Malindo, dan Scoot (Singapura), bermula 4 Disember 2021 hingga 5 Januari 2022. Kami berharap Kerajaan Negeri akan segera mengembalikan jumlah kekerapan tersebut kepada 502, sama seperti sebelum pandemik COVID-19 melanda negara.

Kerajaan mengingatkan kepada semua pemain industri supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga tambang bagi menampung kerugian yang dialami sebelum ini. Ini persepsi orang ramai yang perlu ditangani oleh syarikat penerbangan.

“Saya juga menggesa semua pihak supaya mengambil tindakan segera menurunkan harga tambang penerbangan bagi pengembara tanpa perlu Kerajaan Persekutuan dan agensinya campur tangan secara berlebihan dalam pengoperasian tersebut,” ujarnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *