Penjawat Awam Perlu Hayati Nilai Integriti

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 5 Second

KOTA  KINABALU : Penjawat awam di negeri diminta untuk terus menghayati nilai integriti agar sistem penyampaian kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, penghayatan nilai-nilai integriti ini perlu terus diterjemah melalui aktiviti dan program yang dirancang oleh setiap jabatan mahupun agensi kementerian yang terlibat.

“Di peringkat Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas dan agensi-agensinya, minggu ini telah dipilih untuk mengadakan Hari Integriti yang telah pun bermula pada 29 November hingga 02 Disember Ini. 

“Pelbagai aktiviti diadakan disepanjang minggu ini bagi meningkatkan penghayatan nilai-nilai integriti dikalangan semua pegawai dan kakitangan.”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Minggu Integriti Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas Dan Agensi Dibawahnya disini hari ini.

Mohd Arifin berkata, penghayatan nilai integriti itu termasuklah melaksanakan aktiviti seperti penyediaan Pelan Anti Rasuah, penilaian prosedur standard operasi (SOP), penambahbaikan prosedur kerja dan perlaksanaan inisiatif-inisiatif Kerajaan Digital.

Katanya, menerusi aktiviti dan program itu ia akan dapat memastikan sistem penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dan dinikmati oleh rakyat.

“Sehubungan itu, saya merakamkan penghargaan kepada semua pasukan penyedia Pelan Anti Rasuah Organisasi di Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Kehakiman Syariah Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulml Negeri Sabah (PBNS) telah berjaya menyiapkan Buku Pelan Anti Rasuah masing-masing.

“Saya yakin bahawa inisiatif-inisiatif yang telah dirangka dalam Pelan Anti Rasuah Organisasi tersebut akan mampu menjadikan Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas dan agensi-agensi dibawahnya kalis rasuah dan mengamalkan nilai-nilai integriti yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Arifin berkata, kurangnya amalan integriti ini akan membawa kepada implikasi yang besar selain akan wujud budaya rasuah dalam kalangan pegawai dan juga pihak yang lain.

“Oleh itu, saya berharap agar semua penjawat awam amnya, khususnya di Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas dan agensi di bawahnya, untuk sentiasa berintegriti, seterusnya menjadi peneraju kepada amalan berintegriti dalam perkhidmatan awam iaitu dengan mengamalkan peraturan yang baik, melaksanakan SOP yang telus, inovatif dan mesra pelanggan.

“ Semoga Minggu Integriti yang dilaksanakan sepanjang seminggu ini mampu memberikan impak yang positif kepada kita semua dan menjadikan organisasi Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas dan agensinya bukan sahaja berdaya saing malah, mengamalkan “daya sayang” untuk terus maju dan berintegriti,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *