HomeUtamaLangkah Intervensi Dilaksana Bantu Petani & Pesawah Terjejas

Langkah Intervensi Dilaksana Bantu Petani & Pesawah Terjejas

Read Time:2 Minute, 15 Second

KUALA LUMPUR : Kerajaan mengumumkan beberapa langkah intervensi khususnya bagi membantu petani dan pesawah yang terjejas berikutan kenaikan kos input pertanian khasnya baja dan racun.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Dr Ronald Kiandee berkata, kementeriannya sentiasa prihatin terhadap isu kenaikan kos input pertanian yang berlaku semenjak pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia.

“Dalam hal ini, Perdana Menteri baru-baru ini telah mengumumkan beberapa langkah intervensi khususnya bagi membantu petani dan pesawah yang terjejas.

“Antaranya menyalurkan dana sebanyak RM200 juta sebagai pinjaman agromakanan pada kadar faedah sifar peratus dengan moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan disediakan di bawah TEKUN dan Agrobank.

“Selain itu, peruntukan tambahan sebanyak RM62 juta melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi subsidi dan insentif padi di bawah Bajet 2022 di mana bantuan subsidi racun makhluk perosak untuk pesawah dinaikkan dari RM200 sehektar semusim kepada RM300,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pada persidangan Dewan Rakyat disini hari ini.

Dr Ronald berkata, kementeriannya juga telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan untuk Kerajaan menawarkan insentif tambahan kepada petani yang terjejas.

Katanya, cadangan tersebut masih diperingkat penelitian dan perbincangan lanjut bersama Kementerian Kewangan.

“Kerajaan akan terus mengambil langkah menangani kenaikan harga baja dan racun bagi memastikan produktiviti pengeluaran tidak terjejas dan bekalan sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan,” katanya.

Terdahulu, Dr Ronald berkata, harga baja didapati telah meningkat hampir 30 peratus manakala harga racun pula telah meningkat hampir 100 peratus.

Katanya, kenaikan harga itu ditentukan oleh kuasa pasaran selain kebanyakan baja dan racun yang digunakan oleh petani dihasilkan daripada bahan mentah seperti unsur nitrogen, fosfat (phosphate) dan kalium (potassium) diimport daripada negara luar seperti China, Amerika Syarikat, India dan Indonesia.

“Antara faktor-faktor yang telah dikenalpasti mempengaruhi kenaikan harga ini adalah perubahan polisi daripada negara pengeksport yang mengurangkan bekalan, kenaikan kos bahan mentah yang melibatkan hasil petroleum dan sumber asli, peningkatan kos logistik serta kadar tukaran mata wang asing.

“Kenaikan harga ini sememangnya membebankan para petani dan pengusaha sehingga mengakibatkan peningkatan kos pengeluaran sekali gus mengurangkan pendapatan petani.

“Kumpulan petani yang terkesan dengan kenaikan harga baja dan racun adalah seramai 276,621 orang merangkumi tanaman buah, sayur, tanaman ladang/kontan, kelapa, bunga-bungaan, herba dan rempah ratus dengan keluasan bertanam seluas 405,509 hektar,” katanya.

Sementara itu, Dr Ronald berkata, seramai 356,000 orang pesawah padi sawah dengan keluasan bertanam seluas 608,000 hektar juga turut terkesan.

Katanya, secara umumnya, petani mengalami peningkatan kos input pertanian sebanyak 21 peratus bagi kategori sayur daun dan 17 peratus masing-masing bagi kategori sayur buah dan buah-buahan berikutan peningkatan harga baja dan racun.

“Manakala, pesawah padi mengalami peningkatan kos sebanyak 11.9 peratus khususnya disebabkan peningkatan harga racun,” katanya.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Implikasi dan Cabaran Malaysia Sebagai Pasaran Pusat Data Ketiga Terbesar Asia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular