Jawatankuasa Kerja Ditubuh Untuk Kenalpasti Pelbagai Isu Sosioekonomi Di Sabah

Read Time:1 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam telah mempengerusikan Mesyuarat Penubuhan Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi Peringkat Negeri Sabah di Bilik Mesyuarat Perdana, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Menara Kinabalu, di sini kelmarin.

Mesyuarat tersebut bertujuan untuk membincangkan penubuhan Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi Peringkat Negeri untuk meneliti isu/permasalahan yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri berhubung sektor ekonomi, kesihatan, pendidikan, infrastruktur, pentadbiran awam/borneonisasi, utiliti awam antaranya air, elektrik, komunikasi serta isu kadar kemiskinan.

Dr. Joachim berkata, jawatankuasa kerja ini adalah merupakan salah satu lagi saluran untuk mengutarakan keperluan-keperluan Kerajaan Negeri selain daripada cara yang sedia dipraktikkan.

UPEN akan menjadi Urusetia Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi Peringkat Negeri.

“Perkara atau isu yang dibincangkan dalam Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi Peringkat Negeri ini nanti akan diangkat dan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

“Manakala perkara atau isu yang dibincangkan dalam Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi Peringkat Persekutuan itu akan dimaklumkan kepada MKMA63 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia untuk tindakan sewajarnya oleh pihak yang berkaitan.

“Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi MKMA63 adalah untuk meneliti perkara dan isu penting yang sering dibangkitkan berkaitan hal ehwal Sabah dan Sarawak,” kata Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dalam kenyataan media, kelmarin.

Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Rosmadi Sulai; Timbalan Pengarah (Makro) UPEN; Robert Stidi, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Ketua-Ketua Jabatan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *