HomeUtamaProjek Ecolinc Kinabalu Berjaya Cipta Kerjasama Kuat Antara Kerajaan & Komuniti

Projek Ecolinc Kinabalu Berjaya Cipta Kerjasama Kuat Antara Kerajaan & Komuniti

Read Time:2 Minute, 50 Second

RANAU: Projek Ecolinc Kinabalu telah berjaya mencipta kerjasama yang kuat antara pihak Kerajaan dan komuniti dalam pengurusan sumber alam secara mampan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam yang bangga dengan pencapaian ini berkata, ia jelas menunjukkan komitmen Kerajaan di dalam membantu komuniti bukan sahaja dalam aktiviti berbentuk konservasi alam tapi juga dari aspek pembangunan kapasiti diri dan pembangunan taraf hidup.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Balai Komuniti Kampung Bundu Tuhan dan pelancaran tiga denai baharu projek tersebut di majlis yang diadakan di kampung tersebut kelmarin.

Projek Ecolinc Kinabalu ini bermula dengan satu kajian oleh ERE consultant pada tahun 2011 yang bertujuan untuk melihat keperluan dan kepentingan pembentukan ‘ecological linkage’ yang menghubungkan dua taman daratan terbesar Taman -Taman Sabah, iaitu Crocker Range Park dan Kinabalu Park.

“Waktu itu, saya masih berkhidmat sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman -Taman Sabah. Sokongan saya terhadap pelaksanaan projek Ecolinc yang dikenali sebagai ’Projek Wildlife Corridor’ (Koridor Hidupan Liar) pada masa itu tidak sia-sia.

“Hari ini, Projek Ecolinc telah lahir dan dilaksanakan di Kampung Bundu Tuhan. Saya sangat berbangga dengan kejayaan ini,” kata Dr. Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang.

Menurut Dr Joachim, Memorandum Persefahaman (MOU) antara kedua belah pihak telah dimeterai sejak Disember 2014 lagi. Kerjasama ini dizahirkan dengan pembinaan pusat benih semaian (nursery) pada tahun 2015 dan dirasmikan pada Mei 2016.

Pembinaan nursery ini bertujuan untuk melicinkan program restorasi hutan dan kawasan terjejas. Lebih 2,000 anak pokok boleh ditempatkan di nursery ini untuk ditanam di Kampung Bundu Tuhan serta beberapa kampung terpilih yang lain.

Selain itu, Komuniti Kampung Bundu Tuhan juga dilibatkan secara langsung dengan program pertanian mampan.

“Justeru, Projek Ecolinc Kinabalu telah memperkenalkan sistem pertanian mampan yang mana lebih bersifat mesra alam.

“Program ini dijalankan dengan teliti dan dilengkapi dengan pembelajaran dan latihan aplikasi pertanian lestari. Pakar-pakar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut dijemput untuk memberikan pendedahan tentang teknik teknk pertanian mampan.

“Produk hasilan pertanian bukan sahaja terhad kepada produk mentah tapi juga berproses seperti serunding tuhau, jeruk sayur serta penghasilan baja kompos,” katanya.

Pada tahun 2019 sehingga kini, katanya, masyarakat Kampung Bundu Tuhan telah menikmati pertambahan dari sudut pengeluaran produk pertanian dan mendapat peningkatan dari segi aspek pendapatan.

“Pada hari ini, kita dapat melihat hasil kerjasama yang erat ini melalui perasmian Balai Komuniti Kampung Bundu Tuhan.

“Balai Komuniti ini dibangunkan dengan bantuan dana yang diberikan oleh pihak Projek Ecolinc Kinabalu dibawah program Sabah EU-REDD+.

“Balai Komuniti ini akan dijadikan sebagai pusat pentadbiran oleh Jawatankuasa Pemegang amanah Hutan Lindungan Komuniti (Winokok) Bundu Tuhan,” kata Dr Joachim, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian (MID).

Tambahnya, dengan adanya balai ini, maka pengurusan hal ehwal berkaitan dengan pengurusan hutan Winokok dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan selesa.

Selain daripada perasmian Balai Komuniti, Pihak Komuniti Bundu Tuhan juga akan menerima 14 unit perangkap kamera sumbangan daripada Projek Ecolinc Kinabalu. Perangkap kamera ini boleh digunakan untuk pemantauan hutan Winokok dengan lebih berkesan dan sistematik.

Dr. Joachim turut merasmikan pembukaan tiga denai ‘Heritage Trail’, Hatob Trail’ dan ‘Boundary Trail’.

“Saya akan terus menyokong projek- projek kerjasama antara Kerajaan dan komuniti seumpama ini.

“Kerjasama antara pihak Kerajaan dan komuniti setempat adalah kunci keberkesanan usaha menjaga sumber alam kita,” kata beliau, sambil mengucapkan syabas kepada Taman Taman Sabah dan Komuniti Kampung Bundu Tuhan atas keberjayaan kerjasama erat ini.

“Saya berharap agar perkara seumpama ini berterusan dan menjadi ikutan oleh pelbagai pihak di seluruh negeri Sabah khususnya dan masyarakat dunia amnya,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular