Agrobank Buka Cawangan Ke-139 Di Beluran, Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 57 Second

BELURAN: Sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) dengan fokus untuk memastikan kelestarian dan pembangunan sektor pertanian, Agrobank hari ini telah meluaskan rangkaian cawangannya di Sabah dengan pembukaan cawangannya yang ke-139 di Beluran.

Selain faktor ekonomi dan kegiatan pertanian serta industri pemprosesan makanan di Beluran khususnya menerusi sub-sektor tanaman, perikanan dan penternakan seperti perusahaan burung walit, Beluran dipilih sebagai lokasi terbaharu Agrobank membuktikan komitmen bank tersebut dalam memenuhi mandat yang telah didukung untuk membantu membangunkan golongan unserved dan underserved khususnya di kawasan luar bandar.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, kegiatan ekonomi penduduk dapat dipertingkatkan terutamanya melalui kemudahan pembiayaan yang holistik dan mampan.

“Dari 1 Januari 2021 hingga 31 Oktober 2021, sejumlah 191 juta ringgit kelulusan pembiayaan Agrobank telah dicatatkan di Sabah. Daripada jumlah itu, 2.8 juta ringgit pembiayaan terkumpul telah dicatatkan di Kawasan Beluran yang telah memanfaatkan seramai 90 orang penerima pembiayaan,” kata Dr Ronald semasa merasmikan cawangan baharu Agrobank di Beluran pada Ahad.

Dr. Ronald turut memuji langkah proaktif Agrobank membuka sebuah lagi cawangan di Sabah kerana sebelum ini, penduduk di Beluran terpaksa ke Sandakan di mana jarak perjalanannya adalah sejauh 82KM dan ini ternyata menyukarkan penduduk Beluran untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan yang holistik seperti pembukaan akaun bank, perkhidmatan pembiayaan berasaskan pertanian dan pengguna, ATM dan CDM serta takaful.

Justeru, Agrobank akan terus membantu antaranya dalam pembangunan sektor mikro yang menawarkan pembiayaan mikro sehingga 75 ribu ringgit tanpa kadar keuntungan atau kosong caj bagi tempoh enam bulan pertama beserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan.

‘Ini menunjukkan kerajaan sentiasa komited untuk membantu usahawan mikro di luar sana dan usaha ini perlu dilaksanakan bersama-sama dengan semua pihak termasuk penglibatan pihak swasta.

’‘Oleh yang demikian, saya menyeru usahawan tani khususnya penduduk di Beluran ini, supaya terus meneroka dan merebut peluang yang tersedia untuk sama-sama memajukan sektor pertanian negara,’ kata Dr Ronald.

Mengulas mengenai pembukaan cawangan Beluran, Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Khadijah Iskandar berkata, Cawangan Agrobank di Beluran mempunyai potensi yang besar dalam membantu mengukuhkan ekonomi setempat kerana kegiatan pertaniannya yang unik. Kami komited dan optimis mampu membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi setempat menerusi produk dan perkhidmatan yang ditawarkan Agrobank kerana ia meliputi semua proses di sepanjang rantaian nilai pertanian.

“Sebagai sebuah Bank yang bertanggungjawab untuk memajukan pembangunan sektor pertanian menerusi pembiayaan yang menyeluruh (full chain financing), ini menunjukkan, pembukaan Agrobank di sini adalah sangat tepat kerana sebelum ini, penerima pembiayaan ini terpaksa ke Sandakan dengan jarak perjalanan yang jauh untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan. Saya berharap, pembukaan cawangan ini akan membantu komuniti setempat untuk berjaya dalam sektor pertanian menerusi perkhidmatan perbankan yang kami tawarkan,” tambah beliau.

Pada majlis yang sama, Dr. Ronald juga turut menyampaikan bakul makanan sumbangan daripada Agrobank kepada 200 orang penerima dengan jumlah sumbangan bernilai RM20,000 menerusi program MAFI Prihatin bagi membantu golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Acara simbolik penyampaian Kad Pintar Keluarga Peladang (PELADANG-i) berkonsepkan perbankan dengan menggabungkan ciri-ciri tiga dalam satu menerusi kad Co-Brand Agrobank turut disampaikan oleh Dr. Ronald kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran.

Kad PELADANG-i boleh dijadikan kad identiti keahlian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), dengan fungsi pembayaran transaksi tanpa tunai serta dilengkapi perlindungan Takaful Kasih Plus sehingga RM5,000 hanya dengan bayaran RM5 setahun.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk merangkap Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Samad Jambri, Ketua Setiausaha MAFI, Dato’ Haslina Abdul Hamid, Pegawai Daerah Beluran, Nordin Daling, Timbalan Ketua Polis Daerah Beluran, ASP Jais, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Beluran, Kamariah Ismail dan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Sundralingam Nagaiah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *