160 Peserta Sertai Fun Ride MTB

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA BELUD : Seramai 160 orang peserta telah menyertai Cabaran Fun Ride Mountain Bike (MTB) yang diadakan di Kampung Kiau Taburi di sini, semalam.

Penganjuran yang bertemakan ‘The Lost World of Kiau Taburi’ itu merupakan acara sukan pertama bagi Negeri Sabah selepas aktiviti pelancongan sukan terhenti hampir dua tahun akibat pandemik COVID-19.

Program itu dianjurkan oleh komuniti kampung dan disokong oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Negeri (KePKAS) serta Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

Timbalan Pengurus Besar STB, Julinus Jimit, berkata Cabaran MTB merupakan salah satu acara sukan yang dinanti-nantikan selepas pergerakan rentas daerah dibenarkan.

“Acara seperti ini mampu menambah nilai dan mempromosikan aktiviti pelancongan luar bandar dengan penyertaan komuniti kampung.

“Ini adalah antara matlamat Kerajaan Negeri dan KePKAS untuk membangunkan pelancongan desa,” katanya pada majlis perasmian dan penutupan Cabaran MTB.

Julinus hadir di Kampung Kiau Taburi bagi mewakili Pembantu Menteri KePKAS merangkap pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau turut berkata KePKAS dan STB akan terus menyokong acara itu jika ia diadakan semula pada tahun berikutnya, sambil menambah beliau berharap untuk melihat penyertaan dari negeri lain dan luar negara dalam acara akan datang.

“Dengan sempadan antarabangsa dijangka buka semula tahun depan, kita juga harus bersedia untuk mengalu-alukan penyertaan dari negara lain dalam acara sukan kita.

“Pada masa yang sama, komuniti kampung perlu mengambil peluang dengan menggunakan acara sukan seperti Cabaran MTB atau acara pelancongan lain untuk mempromosikan kraftangan, makanan tradisional dan budaya masing-masing bagi merancakkan lagi pelancongan desa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Timothy Sagun, berkata Cabaran MTB diadakan bagi mempromosikan Kampung Kiau Taburi sebagai destinasi eko-pelancongan dan menggiatkan semula aktiviti pelancongan berasaskan komuniti.

Timothy menzahirkan terima kasih kepada Joniston atas sokongan kewangan melalui STB, sambil menambah acara itu telah mendorong orang tempatan untuk melancong dan menyertai acara mencabar yang membolehkan mereka menerokai kawasan luar bandar.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan dalam Cabaran MTB iaitu Terbuka Lelaki (13-28 Tahun), Terbuka Lelaki (29-39 Tahun), Lelaki Veteran (40 Tahun Keatas), dan Terbuka Wanita.

Turut hadir pada majlis itu adalah Penolong Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Wahab Sidek; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Denis Rumanti; dan ketua masyarakat Kampung Kiau Taburi, Kampung Kiau Nuluh, serta Kampung Kiau Bersatu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *