Amalan Bergotong-Royong Dikalangan Masyarakat Kampung Perlu Dihidupkan Semula – Yakub

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU: Masyarakat Kampung Kuala Manggatal perlu menjadikan ‘Budaya Gotong-Royong’ sebagai salah satu amalan dalam kehidupan seharian mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri N.16 Karambunai, Datuk Yakub Khan berkata, ini kerana budaya amalan gotong-royong semakin dipinggirkan masyarakat kampung berikutan penduduk kampung beralih kepada corak kehidupan masa kini.

Katanya, pihak pengurusan kampung boleh membuat agar semua penduduk kampung boleh terlibat sama sekali gus menjayakan setiap aktiviti yang dianjurkan di kawasan mereka.

“Kita yakin Kampung Kuala Manggatal ini mampu menjadi contoh kepada kampung lain apabila mampu menghidupkan semula amalan yang baik ini.

“Kemungkinan juga penduduk kampung sudah selesa mengupah individu lain untuk membersihkan kawasan sekitar mereka. Namun amalan gotong-royong bersama masyarakat kampung tidak boleh ditinggalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Gotong Royong Perdana, anjuran pihak pengurusan Kampung Kuala Manggatal dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Politik Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Noraini Idris serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai Matlan Taman.

Yakub yang juga Menteri Sains Teknologi dan Inovasi berkata, ketika ini beberapa aktiviti mula dibenarkan dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) membolehkan program gotong-royong bersama penduduk kampung dapat dijalankan.

“Kita yakin aktiviti gotong-royong ini akan diperluaskan di DUN Karambunai bagi membolehkan program dalam skala besar dapat dijalankan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK),” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *