COVID-19 : Kes Jangkitan Turun Bawah Paras 300 Kes

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU : Kes jangkitan COVID-19 di Sabah terus mencatatkan penurunan dibawah paras 300 dengan jumlah terbaharu sebanyak 294 kes pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah itu merupakan penurunan sebanyak 57 kes berbanding semalam.

“Secara keseluruhan, kedudukan kes di daerah-daerah adalah bercampur-campur, yakni mencatatkan turun naik setiap hari.

“Kota Kinabalu masih mencatatkan jumlah kes yang tertinggi di Sabah hampir setiap hari hari dengan jumlah pada hari ini ialah 60 kes,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, Tuaran menjadi penyumbang kedua tertinggi dengan 33 kes baharu tetapi mencatat pengurangan 17 kes berbanding semlaam.

Katanya,  Ranau di tangga ketiga dengan 28 kes, kurang 5 kes berbanding semalam manakala anggota ‘Empat Serangkai’ yang keempat, Kota Belud mencatat 13 kes (-28) sahaja hari ini berbanding 41 sebelumnya.

“Jumlah dan peratusan yang tinggi setiap hari bagi kes-kes yang berpunca daripada jangkitan sporadik harus dilihat sebagai satu amaran dan peringatan kepada semua agar mengelak daripada tempat-tempat yang ramai orang berkumpul bagi mengurang risiko jangkitan.

“Semua prosedur standard operasi (SOP) juga perlu dipatuhi setiap masa. Kita baru sahaja dikejutkan dengan varian baharu Omicron yang dikatakan menjangkit lebih cepat daripada varian sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, peratusan kes jangkitan sporadik hari ini ialah 36 peratus, semalam 38 peratus dan pada Jumaat lalu hampir 42 peratus.

“Daripada 294 kes hari ini, 287 atau 98 peratus adalah dalam Kategori 1 dan 2, seorang dalam Kategori 3, dua orang dalam Kategori 4 dan seorang dalam Kategori 5.

“Tiga kes lagi masih dalam penilaian lanjut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *