Perkhidmatan Percubaan Bas Elektrik Dalam Persiapan Akhir

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU : Perkhidmatan bas elektrik atau e-bus yang pertama di Sabah akan melaksanakan operasi percubaan dalam tempoh terdekat yang kini dalam persiapan akhir.

Ketua Pegawai Komunikasi Qhazanah Sabah Berhad (QSB) Muhammad Khairulnizam Hasnan berkata, laluan perkhidmatan bagi bas itu juga kini sedang dimuktamadkan.

“Ketika ini ada beberapa perkara sedang diselesaikan dengan pelbagai pihak khususnya pihak berkuasa sebelum perkhidmatan ini dapat melaksanakan operasi percubaan.

“Sudah pasti kami tidak sabar untuk mendapatkan maklum balas dari para pengguna selain warga bandaraya juga mahu merasai perkhidmatan bas elektrik ini,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Khairulnizam berkata, QSB memperkenalkan perkhidmatan bas elektrik itu sebagai sebahagian daripada sumbangan pihaknya ke arah menambah baik sistem pengangkutan awam di Kota Kinabalu.

“Perkhidmatan bas elektrik ini amat sesuai kerana ia lebih mesra alam selain penggunaan kenderaan berkuasa elektrik semakin mendapat perhatian di seluruh dunia,” katanya.

Katanya, berikutan itu, QSB telah mencadangkan perkhidmatan Sistem Transit Pantas (RTS) iaitu ‘Skytrain’ sejauh 25.5 kilometer bermula dari Lapangan Terbang Antabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Alamesra.

“Ini adalah input kami untuk mentransformasikan perkhidmatan pengangkutan awam Kota Kinabalu bagi memberi manfaat kepada Sabah secara keseluruhan.

 “Kami sedar ini adalah usaha jangka panjang dan banyak yang perlu dilakukan. Kami berhasrat untuk melakukan yang terbaik agar yang dirancang dapat direalisasikan,” katanya.

Pada 29 November lalu, anak syarikat QSB WHSB Ventures Sdn Bhd (WVSB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Vizinone Construction Sdn Bhd, Sycal Skycity Sdn Bhd dan Guangcai China (M) Sdn Bhd bagi cadangan projek berbilion ringgit yang merangkumi Pembangunan bercampur seluas 6.4 hektar di sepanjang Tanjung Lipat di Likas.

WVSB kemudian menjelaskan bahawa objektif MoU itu adalah bagi mewujudkan kerjasama formal dan kerjasama berkaitan dengan penyediaan serta pelaksanaan projek.

Kerjasama itu akan membawa kepada perbincangan diperingkat akhir iaitu persetujuan yang mengikat kerjasama diantara semua pihak.

Khairulnizam berkata seperti yang dinyatakan oleh WVSB, projek yang dicadangkan itu masih di peringkat awal.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *