HomeUtamaDUN Sabah : Inisiatif Pelaburan Impak Tinggi Tunjuk Perkembangan Positif

DUN Sabah : Inisiatif Pelaburan Impak Tinggi Tunjuk Perkembangan Positif

Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU : Beberapa inisiatif pelaburan berimpak tinggi yang dilaksanakan di Sabah kini telah menunjukkan perkembangan positif dan sedang dalam pelaksanaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan Sabah juga kini sedang mempergiatkan usaha bagi merealisasikan beberapa pelaburan baharu.

Katanya, ia melibatkan projek pembuatan kaca photovoltaic (solar panel), pembangunan Bandar Pintar Tanjung Lipat, penanaman herbal perubatan di Kundasang, pembangunan resort eko-pelancongan di Pulau Mengalum dan pembangunan hartanah di atas tanah Yayasan Sabah seluas 10 ekar di Tanjung Lipat, Kota Kinabalu.

“Di samping itu, Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) juga dijangka akan menerima pelaburan baharu melibatkan Projek ZLNG oleh PETRONAS, penapisan minyak kelapa sawit bersepadu, pembuatan produk logam silicon, pemprosesan kitar semula teknologi hijau e-waste, kemudahan rawatan sisa perindustrian (industrial waste treatment facility) dan perkhidmatan marin.

“Sekiranya pelaburan-pelaburan ini direalisasikan kelak, Sabah dijangka akan menerima jumlah pelaburan langsung yang dianggarkan lebih kurang RM25 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr. Mohd Salleh Tun Said Keruak (USUKAN-BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri juga sedang merancang semula pembangunan Tanjung Aru Eco Development (TAED).

Katanya, TAED merupakan projek pembangunan yang melibatkan pelaburan berbilion ringgit yang terletak berhampiran pusat perniagaan utama Kota Kinabalu.

“Kerajaan Negeri akan membangunkan semula TAED dengan konsep dan masterplan yang baharu melibatkan pembangunan bercampur yang terdiri daripada pembinaan hotel dan resort, kawasan kediaman dan komersial yang dilengkapi dengan taman awam dan kawasan rekreasi.

“Apabila siap kelak, TAED akan menjadi salah satu destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa dan gaya hidup yang vibrant khususnya untuk daerah Kota Kinabalu dan negeri Sabah amnya.

“Pada masa yang sama, pembangunan TAED adalah untuk menaik taraf Pantai Tanjung Aru dengan menjaga keindahan semulajadinya serta memastikan daya maju pusat-pusat komersial yang akan dibangunkan kekal utuh dan menarik,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, sebagai langkah kehadapan, Kerajaan Negeri akan mempergiat usaha bagi memudahcara dan mempercepatkan proses merealisasikan semua pelaburan ini.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga komited untuk meneroka lebih banyak pelaburan-pelaburan berimpak tinggi ke negeri Sabah bagi merangsang lagi ekonomi dan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular