HomeUtamaDUN Sabah : Kerajaan Diminta Pandang Serius Potensi Yang Ada Di Setiap...

DUN Sabah : Kerajaan Diminta Pandang Serius Potensi Yang Ada Di Setiap DUN

Read Time:1 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri diminta untuk memandang serius terhadap potensi-potensi yang ada di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid Jonnybone J. Kurum berkata, DUN Telupid khususnya mempunyai potensi yang besar sekiranya kerajaan membantu bagi merancang pembangunan yang lebih inovatif dan mampan pada masa akan datang.

Katanya, daerah Telupid merupakan jantung negeri Sabah yang terletak ditengah-tengah jaringan jalan raya timur barat utara selatan.

“Seperti yang saya pernah nyatakan dahulu iaitu menjadikan daerah ini sebagai hub transit pengangkutan darat, hub kesihatan, hub pendidikan, hub perindustrian berasaskan pertanian dan penternakan serta menjadi kawasan baru bagi tarikan pelancongan.

“Dalam mencapai hasrat ini, beberapa langkah perlu diambil secara serius oleh kerajaan seperti mempercepatkan penyiapan jalan Pan Borneo, menaik taraf bekalan elektrik dalam kadar 100 peratus dan bekalan air, serta menaik taraf jaringan jalan raya perhubungan kampung yang masih daif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan Belanjawan Sabah 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Jonnybone berkata, dengan adanya infrastuktur yang baik, beliau percaya dan yakin pelabur akan datang untuk mencari peluang perniagaan.

Katanya, sumber-sumber yang boleh diperolehi secara G2G sudah pasti akan dapat merealisasikan hasrat berkenaan.

“Sebagai contoh dalam penyediaan tanah untuk tujuan pembangunan. Kawasan yang masih luas yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan melalui agensi seperti Jabatan Hutan perlu di kolaborasikan demi kemajuan jangka panjang negeri Sabah.

“Daerah Telupid sangat memerlukan tanah untuk dibangunkan namun malang sekali Telupid dikelilingi oleh syarikat-syarikat perladangan dan hutan simpan.

“Oleh yang demikian, kita tiada pilihan selain merayu kepada agensi kerajaan seperti Jabatan Hutan untuk memohon beberapa kawasan hutan simpan untuk dikeluarkan bagi tujuan pembangunan,” katanya.

Katanya, hutan simpan yang dikenalpasti adalah Hutan Simpan Tawau dan Hutan Simpan Kuamas, Hutan Simpan Bidu-Bidu, Hutan Simpan Ulu Telupid, Hutan simpan Lipasu dan Hutan Simpan Ulu Tongod.

“Ini tidak bererti mengeluarkan semua kawasan hutan simpan tersebut namun memadai kawasan yang dimaksudkan dapat menampung pembangunan yang dirancang dimana sebahagian rancangan yang kita kenal pasti adalah perumahan mampu milik, lot-lot bangunan komersial dan apa juga jenis bangunan yang difikirkan perlu serta rancangan untuk pusat pemeliharaan gajah.

“Kawasan yang dimaksudkan adalah dipinggir pekan Telupid yang termasuk dalam hutan simpan Tawai,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular