HomeUtamaDUN Sabah : Kerajaan Terus Perkasa Projek Pembangunan

DUN Sabah : Kerajaan Terus Perkasa Projek Pembangunan

Read Time:1 Minute, 52 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memperkasa pelaksanaan projek-projek pembangunan meliputi pelbagai sektor selari dengan strategi dan pelan pembangunan yang dirancang ke arah pemulihan dan merangsang pertumbuhan ekonomi Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia termasuklah dalam sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan.

Katanya, dalam sektor pertanian, Kementerian Pertanian dan Perikanan akan terus memperhebat pelaksanaan projek-projek pembangunan pertanian baharu dan merancakkan semula pelaksanaan projek-projek sedia ada di bawah RMK12.

“Ini adalah untuk memajukan sub-sektor tanaman, perikanan dan ternakan bagi menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan menghasilkan lebih banyak produk pertanian bernilai tambah tinggi untuk tujuan komersial yang berupaya untuk merangsang pertumbuhan sektor berkenaan.

“Pelbagai usaha juga sedang dilaksanakan bagi merancakkan aktiviti sektor perindustrian. Untuk itu, pelbagai inisiatif dilakukan untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti produk perindustrian negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr. Mohd Salleh Tun Said Keruak (USUKAN-BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan dasar mesra perniagaan dan mewujudkan persekitaran kondusif bagi menarik lebih banyak penglibatan dan pelaburan sektor swasta dalam industri hiliran bernilai tinggi khususnya di taman-taman perindustrian sedia ada di negeri ini.

Katanya, Sabah turut memberi tumpuan kepada usaha bagi memperkasa peranan dan sumbangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam sektor tersebut.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, bagi sektor pelancongan, pelaksanaan inisiatif-inisiatif dalam Pelan Pemulihan Sabah Tourism Recovery Roadmap akan diperhebat bagi memulih dan melonjakkan pembangunan sektor berkenaan.

Katanya, usaha bagi meneroka dan membangunkan lebih banyak produk-produk pelancongan baharu, menambahbaik infrastruktur dan kemudahan asas pelancongan serta menjalankan promosi pelancongan yang agresif akan terus diberi perhatian.

“Selain itu, Sabah juga mengambil langkah melonggarkan SOP rentas negeri dengan membenarkan kemasukan pelawat yang lengkap vaksin COVID-19 ke negeri ini tanpa perlu menjalani ujian saringan COVID-19 berkuatkusa 01 Disember.

“Negeri ini juga bersiap sedia sepenuhnya untuk menerima ketibaan pelancong luar sekiranya Malaysia membuka sempadan negara pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau turut yakin, meskipun dalam norma baharu, kedatangan semula para pelancong akan mampu memulihkan semula sektor pelancongan di Sabah.

“Namun, pada masa yang sama, kerajaan juga akan terus memantau dengan rapi penularan varian baharu COVID-19 dan akan tetap mengambil kira keselamatan rakyat dalam melaksanakan apa juga tindakan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular