DUN Sabah : Sabah Teroka Potensi Perdagangan & Pelaburan Peringkat Antarabangsa

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 53 Second

KOTA KINABALU : Sabah akan menyertai Ekspo 2020 Dubai pada bulan ini bagi meneroka potensi perdagangan dan pelaburan yang lebih luas di peringkat antarabangsa.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ekspo itu akan menjadi platform penting untuk Sabah mempromosikan produk dan perkhidmatan negeri ini

Katanya, ia meliputi produk pelancongan dan perindustrian ke pasaran antarabangsa.

“Pada masa yang sama, Sabah juga akan mengambil peluang untuk mempromosikan peluang-peluang pelaburan dan perniagaan di Negeri Sabah melalui Flagship Industrial Parks di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID).

“Penyertaan Sabah dalam ekspo ini dijangka berupaya menjana pulangan perdagangan dan pelaburan yang tinggi dan akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk merangsang semula ekonomi negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr. Mohd Salleh Tun Said Keruak (USUKAN-BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk membuka Pejabat Perhubungan, Perdagangan dan Pelancongan di Singapura bagi mempromosikan potensi ekonomi dalam kedua-dua sektor berkenaan.

Katanya, pejabat itu akan beroperasi sepenuhnya pada awal tahun hadapan.

“Pelaksanaan inisiatif ini akan menambah baik hubungan perdagangan sedia ada antara Negeri Sabah dan Singapura.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga ingin menarik minat para pelabur dari Singapura untuk melabur dalam pelbagai sektor di Sabah selari dengan hala tuju SMJ untuk meningkatkan pelaburan berimpak tinggi di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, di bawah inisiatif Hala Tuju SMJ dan RMK12, pemetaan nod pertumbuhan utama termasuk kawasan sempadan yang strategik dan berpotensi telah dikenal pasti.

Katanya, satu kawasan telah disediakan untuk tapak pembangunan Bandar Sempadan Serudong-Simanggaris.

“Kerajaan Negeri akan membangunkan kawasan ini dengan mengambil kira potensi-potensi ekonomi yang boleh dimanfaatkan oleh Sabah kesan pemindahan ibu negara Republik Indonesia ke Kalimantan.

“Pembangunan Bandar Sempadan berkenaan yang melibatkan pembinaan jalan raya yang menghubungkan Kalabakan ke Simanggaris, Kalimantan berserta pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS)  di pintu masuk untuk pemeriksaaan rentas sempadan dan lain-lain sudah pasti akan memberi impak positif kepada ekonomi dan sosial di kawasan sempadan Negeri Sabah dan Kalimantan.

“Saya yakin segala inisiatif dan program yang telah, sedang dan akan dilaksana oleh Kerajaan Negeri berupaya untuk merancakkan semula aktiviti-aktiviti pelbagai sektor, lantas dapat memulihkan semula pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri Sabah,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *