HomeIsu tempatanProgram E-Mobiliti Kolaborasi UMS -Universiti Wako Jepun

Program E-Mobiliti Kolaborasi UMS -Universiti Wako Jepun

Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU: Program E-Mobiliti antara ahli akademik dan pelajar Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan Universiti Wako, Jepun mampu membuka ruang kolaborasi pelbagai bidang antara kedua-dua universiti.

Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FPEP, Dr Beatrice Lim berkata, program webinar Autumn in My Heart: E-Mobility to Tokyo, Japan yang dianjurkan bersama Program Ekonomi Sumber Manusia FPEP dan Universiti Wako itu telah mendapat sambutan hangat dengan penyertaan lebih 500 peserta dalam dan luar negara.

“Program ini dilihat berjaya membentuk hubungan baru antara pelajar UMS dengan pelajar Universiti Wako dengan menghimpunkan ahli -ahli akademik dan para pelajar untuk bertukar pengalaman tentang keunikan budaya, makanan, dan cara pembelajaran semasa pandemik di negara masing-masing.

“Kolaborasi sebegini sekali gus memberi nilai impak yang tinggi dalam meningkatkan reputasi dan keterlihatan UMS di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dr Beatrice turut menjelaskan, pelbagai aktiviti dijalankan dalam program tersebut antaranya live bonding session dan sesi pembelajaran bahasa yang memberi peluang kepada peserta dari kedua-dua universiti untuk saling mempelajari dan berinteraksi secara langsung.

“Para peserta turut menyaksikan demonstarsi masakan makanan dari Malaysia dan Jepun yang dipersembahkan oleh pelajar dari kedua-dua universiti, selain kuiz berkenaan budaya kedua-dua negara turut diadakan bagi memeriahkan lagi program tersebut.

“Peserta juga turut berpeluang mendengar perkongsian pengalaman oleh ahli akademik dari Universiti Wako yang pernah dilantik sebagai Profesor Pelawat di FPEP, Profesor Iwao Kato melalui ucaptama bertajuk KK Friendship: Peer to Peer and University to University,” kata Dr. Beatrice.

Program tersebut katanya diakhiri dengan sesi refleksi bagi melihat keberkesanan program mobiliti terhadap pembangunan sosial, keperibadian dan pembelajaran antara budaya terhadap pelajar.

Mengulas lanjut, Dr. Beatrice berkata Program E-Mobiliti yang dijayakan pada dasarnya telah memberi peluang kepada pelajar mempelajari budaya, nilai dan etika serta amalan positif dari negara luar dengan mengadaptasi norma baharu pada ketika dunia masih berada dalam situasi pandemik.

“Pengalaman yang diperoleh ini akan meningkatkan keyakinan berkomunikasi dan mematangkan tahap pemikiran para pelajar.

“Selari dengan usaha UMS dalam menaikkan semangat pengantarabangsaan yang merupakan sebahagian daripada pelan strategik UMS, program ini diharapkan mampu menjadi penanda aras serta dapat diteruskan pada masa hadapan,” ujar Dr. Beatrice.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

80 pekebun kecil LKM sertai Kursus Teknologi Pasca Tuai Koko

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular