DUN Sabah : RM1.25 Bilion Anggaran Asal Kutipan Cukai Jualan Sabah Tahun Ini

Read Time:1 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU : Cukai jualan negeri ke atas produk petroleum yang mula berkuatkuasa pada April 2020 dikenakan ke atas minyak mentah petroleum dan gas asli atau gas asli cecair pada kadar lima peratus bagi setiap produk terbabit.

Pembantu Menteri Kewangan Jasni Daya berkata, anggaran asal kutipan cukai itu pada tahun ini ialah RM1.25 bilion namun disebabkan kenaikan harga komoditi berkenaan, anggaran itu disemak semula dan meningkat kepada RM1.4 bilion.

“Sukacita dimaklumkan bahawa setakat 28 November 2021, kerajaan telah menerima bayaran cukai sebanyak RM1.385 bilion atau 98.9 peratus daripada Anggaran Disemak ke atas kutipan cukai ini.

“Jika dikira sejak cukai ini mula berkuatkuasa sejak April 2020, maka jumlah cukai terkumpul yang telah dikutip adalah RM1.562 bilion. Di mana pada tahun 2020 adalah sebanyak RM177.88 juta,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Syarikat PETRONAS Carigali dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) menjadi penyumbang terbesar kepada kutipan cukai jualan negeri.

Hajiji berkata, kutipan itu adalah bagi produk petroleum yang dikutip kerajaan Sabah antara April tahun lalu hingga November ini.

“Kedua-dua syarikat itu, masing-masing membayar RM444.5 juta dan RM429.9 juta daripada keseluruhan RM1.562 bilion kutipan cukai jualan negeri produk petroleum dalam tempoh itu.

“Selebihnya, ia disumbangkan Conoco Malaysia (RM212.8 juta), Sabah Shell (RM210.7 juta), PTTEP Malaysia (RM76 juta), Petronas Floating LNG 1 (RM63.6 juta), Petronas Floating LNG 2 (RM56.6 juta) Repsol (RM31.1 juta) , PT Pertamina Malaysia (RM28.9 juta) , ConocoPhilips RM7.7 juta dan E&P Malaysia (RM0.46 juta),”katanya.

Katanya, ia adalah jumlah keseluuhan pungutan hasil cukai jualan petroleum yang berjumlah RM1.562 bilion yang dikutip sehingga November tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *