DUN Sabah : Sempadan Setiap Taman-Taman Marin Berdasarkan Koordinat Disediakan JTU

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU : Sempadan kawasan perairan setiap Taman-Taman Marin di Sabah tidak ditetapkan jaraknya dari pesisir pantai pulau-pulau di dalam kawasan Taman.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata, sempadan taman ditentukan mengikut koordinat sempadan yang disediakan oleh Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah dan diwartakan dibawah Enakmen Taman-Taman,1984 (Pindaan 2007).

“Sempadan warta ini tidak ditetapkan menggunakan kaedah jarak batu nautika dari pesisir pantai.

“Masyarakat nelayan diberi kesedaran oleh Taman-Taman Sabah (TTS) mengenai kedudukan sempadan Taman dan memberikan peta sempadan kepada nelayan-nelayan sekitar kawasan Taman Marin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pentanyaan Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Jafry berkata, alat pengesan kedudukan seperti Global Positioning System (GPS) dan radar yang digunakan oleh nelayan komersil memaparkan kedudukan sempadan Taman Marin. 

“Oleh yang demikian, kedudukan sempadan Taman Marin memiliki jarak yang berbagai-bagai tidak hanya dari pantai pulau atau pulau-pulau di dalam Taman marin,”katanya.

Dalam pada itu, Jafry berkata, ketika ini terdapat enam Taman Marin di Sabah telah diwartakan di bawah Enakmen Taman-Taman 1984 dibawah kategori (2) dan Kategori (6) mengikut Persekutuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semulajadi atau International Union for the Conservation of Nature (IUCN).

Katanya, empat taman iaitu Taman Tunku Abdul Rahman, Taman Pulau Tiga, Taman Pulau Penyu dan Taman Pulau Sipadan adalah merupakan taman marin di bawah kategori dua  mengikut Persekutuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semulajadi atau International Union for the Conservation of Nature (IUCN), dimana Taman ini adalah Taman Marin yang dilindungi sepenuhnya.

“Manakala, dua lagi taman marin iaitu Taman Marin Tun Sakaran dan Taman Marin Tun Mustapha adalah terletak di bawah Kategori enam (6), yang membenarkan penangkapan hasil laut secara tradisi yang mesra alam seperti memancing (hook and line), memukat dan memasang bubu di dalam Zon Kegunaan Komuniti (ZKK) yang telah ditetapkan dalam pelan pengurusan taman marin,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *