HomeEkonomiHajiji Umum Penubuhan Syarikat Minyak & Gas Milik Penuh Negeri Sabah -...

Hajiji Umum Penubuhan Syarikat Minyak & Gas Milik Penuh Negeri Sabah – SMJ Petroleum Sdn Bhd

Read Time:3 Minute, 50 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mencatatkan kejayaan bersejarah apabila Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan penubuhan syarikat minyak dan gas milik penuh negeri itu – SMJ Petroleum Sdn Bhd.

Penubuhan SMJ Petroleum Sdn Bhd adalah keputusan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai antara Kerajaan Negeri Sabah dan syarikat minyak nasional, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) pada Selasa.

“CCA ini adalah dokumen yang paling penting antara Sabah dan PETRONAS sejak 16 Jun 1976, apabila perjanjian pembayaran tunai (royalti) dipersetujui, yang ditandatangani antara Sabah dan PETRONAS. Majlis menandatangani CCA hari ini sememangnya menandakan era baharu dalam industri minyak dan gas Sabah,” kata Hajiji.

“Sejajar dengan terma dan syarat CCA, kerajaan negeri berhasrat menubuhkan syarikat milik penuhnya untuk terlibat secara aktif dalam industri minyak dan gas.

“Sehubungan itu, saya berasa gembira mengumumkan penubuhan SMJ Petroleum Sdn Bhd yang akan menerajui penyertaan komersial negeri dalam industri minyak dan gas serta menyelaras semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang sedia ada bagi memastikan terma dan syarat CCA berjaya dilaksanakan untuk kepentingan Sabah dan rakyatnya,” katanya.

“Adalah menjadi aspirasi rakyat kita bahawa Sabah akan mendapat lebih banyak daripada industri minyak dan gasnya,” katanya.

Ketua Menteri berkata satu Jawatankuasa Bersama telah ditubuhkan oleh Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 untuk membincangkan penglibatan secara komersial Sabah dalam industri minyak dan gas antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan PETRONAS.

Sebelum penubuhan Jawatankuasa Bersama, beliau berkata kerajaan negeri dan PETRONAS telah pun mengambil inisiatif sendiri dengan mengadakan perbincangan bermula 8 Oktober 2021, dan dua bulan kemudian selepas beberapa mesyuarat diadakan, CCA dimuktamadkan.

“Ini menunjukkan PETRONAS dan kerajaan negeri boleh bekerjasama dalam pembangunan industri minyak dan gas di Sabah.

“Komitmen kedua-dua kerajaan negeri dan PETRONAS telah memudahkan Kerajaan Persekutuan kerana hanya satu Mesyuarat Jawatankuasa Bersama untuk kedua-dua pihak mencapai titik persamaan yang ditetapkan dalam CCA,” katanya.

Jawatankuasa Bersama telah diadakan pada 1 Disember 2021, yang mana Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengesahkan dan memudahkan penguatkuasaan CCA.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri mengulangi kenyataannya ketika membentangkan Belanjawan 2022 Sabah pada Jumaat lalu, bahawa CCA akan membolehkan Sabah mendapat penyertaan perkongsian hasil yang lebih besar dalam perkara berkaitan minyak dan gas melalui rangka kerja perundingan komersial dengan PETRONAS pada masa yang sama memastikan Sabah mengekalkan hak perundangannya.

Beliau juga memberi jaminan bahawa CCA akan mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif untuk industri minyak dan gas di Sabah termasuk luar pesisir dan darat.

“Bersama PETRONAS, Sabah akan membangunkan industri minyak dan gas dengan memastikan situasi menang-menang untuk negeri ini serta mewujudkan imej baharu bagi industri itu,” katanya.

“Kerajaan Negeri Sabah menerusi syarikatnya (SMJ Petroleum Sdn Bhd) akan mendapat bimbingan daripada PETRONAS supaya Sabah boleh menjadi antara pemain industri yang kukuh,” katanya.

Ketua Menteri juga mengumumkan penubuhan beberapa jawatankuasa di bawah kerjasama berkenaan iaitu Dialog Strategik Tahunan (ASD), Jawatankuasa Penyelarasan Bersama (JCC) serta jawatankuasa-jawatankuasa kecil dalam bidang `Upstream, Domestic Gas Supply, Equity Investments in LNG & Downstream businesses, Oil & Gas Services & Equipment Industry dan Human Captial Development & Other State matters’ akan ditubuhkan yang mana ahlinya adalah daripada kerajaan negeri dan PETRONAS.

Melalui jawatankuasa itu, Sabah akan memastikan penyertaan dan kawalan yang lebih besar dalam industri minyak dan gas melalui pelan pembangunan dan penyertaan dalam aktiviti minyak dan gas di negeri ini termasuk dalam Pelan Induk Gas Sabah, projek LNG serta penglibatan dalam Product Sharing Contract (PSC).

“Sebagai Ketua Menteri, saya akan bersama-sama mengetuai ASD dengan Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Dato ’ Seri Mohd Bakke Salleh. ASD ialah platform perbincangan tertinggi bagi memastikan Sabah mendapat manfaat sepenuhnya daripada CCA pada masa hadapan,” katanya.

Hajiji berkata PETRONAS juga bersetuju menyerahkan hak untuk mengakses data dalam industri minyak dan gas Sabah yang akan memudahkan perbincangan dalam ASD, JCC dan jawatankuasa teknikal di bawahnya.

Selain itu, CCA akan membenarkan penyertaan syarikat atau kontraktor dari Sabah dalam Program Pembangunan Vendor dan PETRONAS akan berusaha untuk memberikan lebih banyak kontrak kepada rakyat Sabah dalam proses tender, katanya.

Apa yang penting, beliau berkata PETRONAS juga komited untuk membayar tunai royalti minyak dan Cukai Jualan Negeri sebagai sebahagian daripada perjanjian perkongsian hasil yang lebih besar.

“Adalah penting untuk dinyatakan di sini bahawa CCA akan memelihara hak perundangan negeri dengan menyediakan perlindungan menyeluruh demi kepentingan negeri,” katanya.

Dalam konteks ini, Hajiji berkata kerajaan negeri merakamkan terima kasih atas komitmen Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS yang sentiasa mendengar tuntutan Sabah dari segi hak minyak dan gasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa teknikal CCA yang diketuai oleh Datuk Seri Masidi Manjun untuk kerajaan negeri bersama Ir. Mohamed Firouz Asnan dari PETRONAS serta Datuk Sri Lim Haw Kuang, anak kelahiran Sabah yang merupakan bekas pengerusi Shell Malaysia atas usaha mereka untuk memastikan CCA menjadi kenyataan.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan seludup minuman keras bernilai RM450,000, duti, cukai lebih RM1.9 juta...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya