DUN Sabah : Kerajaan Sabah Sentiasa Bersedia Jayakan Pendekatan Bawa Manfaat Kepada Rakyat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri sentiasa bersedia untuk menjayakan apa-apa pendekatan yang membawa manfaat kepada orang awam dan pihak berkepentingan.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Isnin Aliasnih berkata, deraf skim perancangan bagi daerah Penampang telah dipamerkan selama 90 hari bermula 18 Oktober sehingga 18 Januari 2022.

Katanya, ia adalah untuk pemeriksaan, bantahan dan pendengaran awam selaras dengan peruntukkan Seksyen 7(2) dan 7(3), Ordinan Perancangan Bandar dan Desa (Sabah Cap.141).

“Pada ketika ini orang awam boleh melakukan pemeriksaan terhadap deraf skim perancangan dan menghantar borang bantahan atau cadangan melalui web rasmi Majlis Daerah Penampang dan Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah (JPBW).

“Selain itu orang awam juga boleh datang ke ruang pameran pejabat Majlis Daerah Penampang (MDP), Dewanraya Kampung Terawi dan Dewanraya Kampung Ganang di mana setiap tempat pameran ini ada kakitangan yang bertugas untuk membantu memberi penerangan berkenaan deraf skim perancangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ignatius Dorell Leiking (WARISAN- Moyog) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Isnin berkata, sepanjang tempoh pameran dilaksanakan, pihak MDP dengan kerjasama JPBW telah mengambil beberapa pendekatan agar deraf skim perancangan Daerah Penampang mendapat hebahan menyeluruh tentang penyediaan deraf skim perancangan berkenaan kepada semua pemilik tanah yang terlibat terutamanya orang-orang kampung.

Katanya, ia meliputi Pelan Daerah Penampang, Pelan Tempatan Donggongon, Pelan Tempatan Kapazan, Pelan Tempatan Tuaui, Pelan Tempatan Kibabaig dan Pelan Tempatan Damaza.

“Kerajaan Negeri juga amat komited untuk memastikan hebahan menyeluruh dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan melalui pelaksanaan pendekatan-pendekatan yang dirancang,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak, termasuk pemimpin kerajaan atau bukan untuk mengadakan dialog terbuka bagi mendapatkan maklum balas pelan pembangunan daerah.

Katanya, kerajaan mengambil pendekatan terbuka dalam perkara itu, lebih-lebih lagi ia membabitkan kepentingan penduduk di daerah terbabit.

Katanya, walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) atau majlis daerah ada kuasa penuh untuk menentukan bagaimana pendengaran awam pelan pembangunan daerah dilakukan, kerajaan terbuka untuk mendengar pandangan semua pihak.

“Majlis daerah ada kuasa penuh untuk menentukan bagaimana pendengaran awam dilakukan tetapi kita sangat terbuka dalam hal ini.

“Malahan, ada satu laporan daripada sebuah majlis daerah saya tidak terima apabila sampai kepada Majlis Perancangan Negeri sebab saya mahu orang awam dimaklumkan dan faham implikasi pelan itu.

“Kita mengalu-alukan tidak kira pemimpin kerajaan atau bukan untuk membuat pendengaran atau dialog terbuka. Saya hanya menjalankan tugas sebagai menteri untuk sementara waktu.

“Pelan itu adalah milik penduduk daerah itu, kita sangat terbuka dan kalau ada cara lain seperti arkitek, jurutera dan sebagainya untuk memberi input, kita mengalu-alukan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *