Masidi, majlis Daerah Lahad Datu

Pengurusan COVID-19 di Lahad Datu Sangat Membanggakan – Masidi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 46 Second

LAHAD DATU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Majlis Daerah Lahad Datu pada Jumaat. (10 Dis)

Masidi dalam ucapannya semasa lawatan itu berkata, pengurusan COVID-19 di Daerah Lahad Datu sangat membanggakan dan ianya dapat dilihat melalui kes yang sangat rendah setiap hari. Bukan jumlah kes yang dibimbangkan sekarang tetapi adalah pada kategori apa jangkitan tersebut.

“Kita bimbang apabila jangkitan COVID-19 terletak dalam Kategori 3, 4 dan 5. Kita tidak mahu membebankan pengurusan hospital kerana kategori ini memerlukan rawatan di hospital. Pada hari ini di Sabah lebih dari 96% hanyalah dalam kategori 1 dan 2.

“Ramai kita beranggapan bahawa kita setelah divaksin kebal namun pematuhan prosedur operasi standard (SOP) amat penting kerana lebih dari 66% daripada jumlah jangkitan setiap hari adalah daripada mereka yang sudah divaksin. Oleh itu, patuhi nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), patuhi SOP dan risiko jangkitan akan menjadi rendah,” tegas Masidi.

Beliau menambah, tugas ini menjadi tanggungjawab kepada kita semua untuk menyedarkan masyarakat di sekeliling kita, kerana kita tidak mahu jadi agen pembawa penyakit di rumah kita.

“Justeru, asas pengurusan yang berkesan adalah KISS (keep it short and simple) iaitu kita mahu komunikasi berkesan supaya maklumat lebih mudah disampaikan kepada kakitangan pelaksana,” ujarnya.

Masidi turut menyatakan bahawa tidak ada halangan untuk menaiktaraf status Majlis kepada Perbandaran sekiranya layak dan ketika ini Lahad Datu dan Penampang sedang dalam pertimbangan untuk dinaikkan status kepada Majlis Perbandaran. Naiktaraf ini akan diadakan serentak (dalam masa yang sama).

Pada masa akan datang, kementeriannya bercadang untuk melaksanakan dasar baharu iaitu pemberian konsesi pelupusan sampah dalam bentuk di mana pembida hendaklah melaksanakan pelupusan berlandaskan sistem atau teknologi untuk kitar semula kerana tempat pelupusan (landfill) tidak mencukupi malah kaedah itu sudah ketinggalan zaman.

“Saya menyeru kepada setiap warga kerja Majlis Daerah Lahad Datu dan Ahli Majlis Daerah Lahad Datu harus mempunyai Sense of Purpose, Sense of Urgency dan Common Sense dalam menjalankan gerak kerja yang cekap,” katanya.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Datuk Dr Jamili Nais, Pegawai Daerah Lahad Datu Dr Ayub Annuar dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Lahad Datu Jackley.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *