HomeEkonomiLahad Datu Kini Mempunyai Terminal Bas Dan Teksi

Lahad Datu Kini Mempunyai Terminal Bas Dan Teksi

Read Time:3 Minute, 6 Second

LAHAD DATU: Daerah ini kini mempunyai sistem perkhidmatan pengangkutan awam yang teratur dan selesa bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat dan pelancong dengan pembukaan Terminal Bas dan Teksi, First Palm City Centre (FPCC), yang juga dikenali sebagai Lahad Datu Sentral.

Pembukaan Terminal Bas dan Teksi baharu itu disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang diwakili Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu majlis yang berlangsung di sini hari ini. (11 Dis)

Terminal itu adalah usaha sama antara Titijaya Land Berhad, pemaju FPCC dan Lembaga Kemajuan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB). FPCC ialah projek pembangunan bercampur yang terdiri daripada kedai komersial, komponen runcit, dan Pasar Raya Econsave yang terkenal di atas tanah seluas 58.8 ekar di pusat bandar.

Hajiji merakamkan ucapan tahniah di atas pembukaan terminal ini, dalam ucapan yang dibacakan Masidi berharap ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengusaha pengangkutan awam di daerah ini.

Selain itu, Hajiji juga berharap ia dapat memberi keselesaan kepada semua pengguna perkhidmatan bas dan teksi termasuk pengunjung ke daerah ini.

Beliau berkata kemudahan baharu yang menaik taraf sistem perkhidmatan pengangkutan awam dan menyediakan kesejahteraan khususnya masyarakat setempat ini juga selaras dengan salah satu teras utama Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kerajaan Negeri iaitu rangkaian infrastruktur dan kelestarian hijau.

Dalam hal ini, katanya, daerah Lahad Datu kini mempunyai rangkaian infrastruktur terbaik dan ini demi kesejahteraan rakyat Lahad Datu sendiri.

Kemudahan yang disediakan Kerajaan bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna bas dan teksi di daerah ini termasuk pelancong malah menjadikan sistem pengangkutan daerah lebih teratur.

“Seperti yang kita tahu, Lahad Datu juga antara daerah yang mempunyai banyak tempat tarikan pelancong seperti Hutan Simpan Tabin, Lembah Danum dan Gua Madai selain pantai dan air terjun yang cantik, maka sudah tentu terminal bas dan teksi ini akan menyediakan kemudahan kepada pelancong yang pergi ke tempat-tempat ini.

“Ini akan membantu usaha Kerajaan Negeri untuk menggiatkan semula sektor pelancongan di negeri ini yang turut terjejas akibat wabak Covid-19,” kata Ketua Menteri.

Sementara itu, Pegawai Daerah Lahad Datu, Dr Mohd Ayub Yaacob mengucapkan terima kasih kepada pemaju First Palm City Centre kerana membina terminal itu yang dinanti-nantikan rakyat sejak sekian lama termasuk pengusaha bas dan teksi di daerah itu.

Beliau yakin ini sebagai kemudahan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat, katanya sebelum ini pengusaha bas dan teksi hanya meletakkan kenderaan di tepi jalan.

“Terminal ini boleh menjadikan Lahad Datu sebagai antara hentian utama di Pantai Timur Sabah,” katanya sambil menambah terminal itu dibina di atas tanah milik Lembaga Kemajuan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah.

Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya Land Berhad, Lim Poh Yit berkata terminal bas dan teksi, yang merupakan salah satu komponen penting FPCC, adalah untuk perkhidmatan pengangkutan awam dalam daerah dan jarak jauh.

“Saya yakin terminal bas dan teksi ini akan dihargai dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk di sini kerana ia mengurangkan masa perjalanan di bandar dan ke destinasi lain di seluruh Sabah,” katanya.

Tambahnya, terminal itu sudah pasti memberi kemudahan kepada penduduk setempat, menambah baik sistem perhubungan darat dan memacu pelancongan di daerah ini.

Dengan pembukaan terminal itu, FPCC selangkah lebih hampir kepada matlamatnya untuk menjadi pusat sehenti terutamanya dengan lokasinya berdekatan dengan Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu dan lapangan terbang.

Lim turut memaklumkan selain terminal, Titijaya Land Berhad turut menumpukan kepada bangunan kedai komersialnya yang baru siap di sekitar kawasan terminal.

Beliau mengalu-alukan pemilik perniagaan yang ingin mengembangkan aktiviti perniagaan mereka serta mereka yang terlibat dalam memulakan perniagaan ke FPCC.

Selain itu, beliau turut mengalu-alukan pengumuman yang dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu mengenai sembilan cadangan pelaburan dari dalam dan luar negara bernilai RM882 juta yang diterima POIC Lahad Datu, katanya ini juga berita baik untuk FPCC.

RELATED ARTICLES
Utama

Malaysia: Rakyat Derita Kesihatan Mental  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya