Kerajaan Sabah Komited Bantu Penduduk Ditimpa Musibah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 20 Second

TAWAU: Kerajaan negeri komited untuk membantu penduduk yang ditimpa musibah bagi meringankan beban khususnya mereka yang terlibat dengan kebakaran.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya turut yakin semua wakil-wakil rakyat kerajaan di negeri ini akan turut membantu sedaya upaya bagi memastikan rakyat terus dibela.

“Saya percaya, wakil-wakil rakyat di negeri ini khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas sudah mengemukakan perkara ini kepada kerajaan khususnya Ketua Menteri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Kinabutan Besar, Batu 5 Jalan Apas disini kelmarin.

Hadir sama, Pembantu Menteri Kewangan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan ADUN Balung Hamild Awang.

Pada lawatan itu, Mohd Arifin menyampaikan bantuan daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) kepada 16 buah keluarga yang terlibat dengan kebakaran di Kampung Kinabutan Besar Batu 5 Jalan Apas disini.

Selain MUIS dan PBNS, sumbangan sama turut disalurkan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu.

Mohd Arifin berkata, MUIS menyerahkan sumbangan sebanyak RM1,000 manakala PBNS menyalurkan bantuan sebanyak RM600 bagi  setiap ketua keluarga.

“Pada hari ini (semalam), kita juga menyerahkan sumbangan serupa kepada mangsa kebakaran di Kampung Tawau Lama,” katanya.

Katanya, semua mangsa diminta bersabar dengan dugaan dan kerajaan tidak akan terlepas pandang untuk terus membantu mana yang termampu.

“Saya berharap, dengan sumbangan itu dapat meringankan sedikit kesusahan yang ditanggung oleh keluarga mangsa kebakaran.

“Penduduk di daerah ini juga diminta untuk mengambil berat faktor keselamatan sekiranya mahu membina rumah agar kejadian seperti kebakaran tidak berlaku,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *