Tindakan Tegas Diambil Terhadap Syarikat, Individu Pamer Iklan ‘Along’ Serupa Kertas Kompaun DBKK

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat atau individu yang tidak bertanggungjawab mempamerkan iklan pemberi pinjam wang menyerupai kertas kompaun DBKK sehingga menimbulkan kekeliruan orang awam.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip berkata, pihaknya telah menerima aduan awam berhubung perkara itu yang kini turut tular di laman sosial.

Katanya, iklan berkenaan turut diselitkan pada cermin kereta orang awam sekitar bandaraya Kota Kinabalu sejak pagi tadi.

“Kita telah menerima aduan awam berhubung iklan yang menyerupai kertas kompaun DBKK yang diselitkan pada cermin kereta orang awam sekitar bandaraya.  Saya juga difahamkan iklan berkenaan turut tular di laman sosial.

“DBKK menafikan tuduhan awam, kononnya kertas iklan tersebut adalah milik DBKK.  Modus operandi syarikat atau individu tersebut dipercayai cuba untuk menarik perhatian orang awam untuk membaca kandungan risalah yang diedarkan,” katanya dalam kenyataan disini malam ini.

Noorliza berkata, kandungan risalah tersebut mengandungi tawaran pinjaman wang dengan insentif yang tertentu untuk menarik perhatian awam.

Katanya, selepas diperiksa, risalah tersebut juga tidak mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh DBKK.

“Siasatan lanjut berhubung perkara ini akan dilakukan bagi mengesan syarikat atau individu yang tidak bertanggungjawab dan akan mengambil tindakan di bawah Undang-Undang Kecil (Iklan) Bandaraya Kota Kinabalu 1983.

“Sekiranya sabit kesalahan akan dikenakan denda sebanyak RM5,000 di bawah Undang-Undang Kecil yang sama,” katanya.

Sementara itu, Noorliza berkata, pihaknya turut akan mendapatkan bantuan daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi membatalkan nombor talian yang tertera dalam risalah tersebut dipercayai nombor yang digunakan untuk menghubungi syarikat pemberi pinjam wang berkenaan.

“Sehubungan dengan itu, DBKK telah serta merta membuat laporan Polis berkenaan perkara ini untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pemberi Pinjam wang 1951.

“Saya menyeru kepada orang awam untuk bekerjasama bagi memaklumkan DBKK sekiranya mereka melihat mana-mana individu yang mengedarkan risalah promosi pemberi pinjam wang dalam apa jua bentuk di mana-mana kawasan bandaraya Kota Kinabalu.

“Maklumat tersebut boleh disampaikan melalui talian DBKK Hotline 012-2220220,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *