HomeEkonomiDana Global PMB Investment Capai Sasaran Saiz Dana

Dana Global PMB Investment Capai Sasaran Saiz Dana

Read Time:2 Minute, 25 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: PMB Investment Berhad (PMB Investment) terus tekad mempelbagaikan portfolio pelaburan diperingkat global susulan sambutan positif pelabur yang ditunjukkan melalui dana global pertamanya yang dilancar pada Oktober lepas iaitu PMB Shariah Global Equity Fund (PMBSGEF). Ketika dilancarkan PMB Investment meletakkan sasaran jualan sebanyak RM20 juta sehingga hujung tahun ini, namun sehingga November 2021, PMBSGEF telah mencapai saiz jualan hampir RM18 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Mahani Ibrahim berkata, pelabur mempunyai keyakinan untuk terus melabur di pasaran global walaupun terdapat peningkatan kembali kes pandemik COVID-19 dan risiko penularan. Bagaimanapun tindakan pembendungan penularan pandemik yang agresif akan terus mempengaruhi aktiviti pelaburan.

Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Mahani Ibrahim.
Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Mahani Ibrahim ketika menyampaikan taklimat mengenai pelan PMB Investment di Kota Kinabalu.

“Kami optimis PMBSGEF mampu mencapai sasaran jualan sekurang-kurangnya RM25 juta hingga RM50 juta dalam tempoh setahun selepas ia dilancarkan pada 28 oktober lalu. Ianya berikutan ekonomi Malaysia yang dijangka terus meningkat pada suku pertama tahun hadapan di mana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka terus mengukuh antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus pada tahun 2022 berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

“PMB Investment mengambil langkah proaktif strategik dalam menyediakan pelbagai pilihan pelaburan di peringkat global dengan potensi pulangan pelaburan yang mampan sejajar dengan kesan pemulihan ekonomi semasa,” katanya.

Mahani berkata demikian ketika ditemui dalam satu Majlis Makan Malam bersama pengamal media di salah sebuah restoran terkemuka di Kota Kinabalu pada Khamis.

Mahani turut menyatakan perancangan PMB Investment untuk 2022 iaitu memperkenalkan tiga lagi dana saham amanah syariah kepada masyarakat pelabur dan dana pertama bakal dilancar pada suku pertama 2022.

PMB Investment akan mengadakan ‘road show’ di beberapa lokasi terpilih dan sesi taklimat di organisasi selain institusi pengajian tinggi.

“Kami mahu memberi pendedahan kepada masyarakat terutama golongan muda tentang pentingnya perancangan pelaburan di usia masih muda dan menjadikan pelaburan sebagai gaya hidup kumpulan ini,” tambah beliau.

Mahani turut berkongsi maklumat tentang program perintis dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang melatih para graduan sebagai Usahawan Kewangan Syariah PMB Investment.

“Seramai 100 graduan telah mengikuti program ini, kami telah melanjutkan program tersebut di UMS untuk kumpulan kedua awal tahun hadapan selain melaksanakan program sama di beberapa institusi pengajian tinggi lain.

“Menerusi program tersebut para graduan boleh memulakan karier sebagai usahawan berjaya, mereka boleh menjadi perunding unit amanah untuk sumber pendapatan sampingan atau secara sepenuh masa, manakala semua latihan serta kemahiran akan disampaikan oleh PMB Investment,” ujarnya.

PMB Investment Berhad (PMB Investment) merupakan anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Berhad, syarikat pelopor dalam pengurusan unit amanah dan pengurusan portfolio. PMB Investment juga merupakan Institusi Pengurusan Dana Syariah (IFMC) menguruskan 18 dana termasuk PMB Shariah Global Equity Fund, dan beberapa mandat porfolio dengan pelaburan dalam kelas aset utama iaitu ekuiti, sukuk dan pasaran modal. PMB Investment mempunyai enam Pejabat Wilayah dan Jualan termasuk di Kota Kinabalu yang beroperasi di Lot 16-4, Block C, Level 4, Harbour City, Sembulan, Kota Kinabalu.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan seludup minuman keras bernilai RM450,000, duti, cukai lebih RM1.9 juta...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya