HomeLuar negaraTaufan Rai badai Filipina, sekurang-kurang 1 maut

Taufan Rai badai Filipina, sekurang-kurang 1 maut

Read Time:1 Minute, 46 Second

MANILA: Sekurang-kurang seorang maut apabila Taufan Rai terus membadai Filipina, hari ini, yang menyaksikan pokok dan tiang elektrik tumbang serta perkampungan ditenggelami banjir.

Bencana alam itu yang dilaporkan sebagai taufan paling kuat melanda Filipina, tahun ini, turut menyebabkan lebih 300,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman dan resort di pantai.

Selain itu, beberapa kawasan terputus hubungan, manakala bumbung sejumlah bangunan pula tercabut ketika Taufan Rai membadai wilayah tengah dan selatan di negara ini.

Taufan kuat itu membawa angin kencang mencecah kelajuan 195 kilometer sejam ketika melanda Pulau Siargao, semalam.

Namun, agensi ramalan cuaca negara ini memaklumkan kelajuan angin itu menurun kepada 155 kilometer sejam, hari ini.

Koresponden ABS-CBN, Dennis Datu yang melaporkan dari bandar Surigao yang terjejas teruk di Pulau Mindanao, berkata orang ramai dilihat berada dalam keadaan bingung dan terkejut dengan kejadian itu.

Rata-rata bangunan mengalami kerosakan teruk, termasuk pejabat bencana wilayah ini. Keadaan seolah-olah terkena serangan bom,” katanya.

Datu berkata, jalan utama menuju ke bandar tepi pantai itu juga tidak boleh dilalui akibat tanah runtuh dan pokok serta tiang elektrik tumbang.

Dalam pada itu, agensi bencana nasional mengesahkan seorang maut, manakala dua lagi cedera akibat kejadian taufan terbabit yang dilaporkan turut menuju ke destinasi pelancongan popular, Pulau Palawan.

Menurut agensi itu lagi, lebih 300,000 penduduk ditempatkan di pusat perlindungan kecemasan ketika taufan itu merentasi Lautan Pasifik dan membadai negara ini.

Kira-kira 18,000 daripada penduduk terbabit masih belum pulang ke kediaman masing-masing, setakat ini.

Datuk Bandar Surigao, Ernesto Matugas memberitahu ABS-CBN bahawa Taufan Rai melanda bandar yang mempunyai kira-kira 170,000 penduduk itu selama beberapa jam sehingga mengakibatkan pelbagai kerosakan teruk.

“Angin sangat kencang. Segala-galanya rosak – bumbung tercabut dan laluan tersekat akibat tanah runtuh,” katanya.

Sejumlah penerbangan dibatalkan di seluruh negara ini, semalam, dan puluhan pelabuhan ditutup sementara.

Biro cuaca memberi amaran, ombak kuat mencecah ketinggian beberapa meter boleh mengakibatkan ‘banjir mengancam nyawa’ di kawasan tepi pantai yang rendah.

Taufan Rai yang dikenali sebagai Odette oleh penduduk tempatan di Filipina, bergerak merentasi wilayah Visayas menuju ke arah Pulau Palawan, hari ini.

Ia dijangka merentasi Laut China Selatan, esok, menuju ke Vietnam. – AFP

RELATED ARTICLES
Luar negaraUtama

Paetongtarn Shinwatra Dipilih Sebagai PM Baharu Thailand

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular