48 Projek ‘People Centric’ Dilaksana Di Parlimen Pensiangan

Read Time:1 Minute, 19 Second

KENINGAU : Sebanyak 48 projek berpusatkan rakyat (people centric) yang berimpak tinggi merangkumi pembaikan infrastruktur dan fasiliti rosak telah dilaksanakan di Parlimen Pensiangan sepanjang tahun 2020 dan 2021.

Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, projek itu merangkumi pembaikan Dewan Komuniti, jambatan, Balai Budaya, Sistem Bekalan Air Graviti dan pelbagai lagi.

Katanya, bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan, sebanyak 24 projek pembaikan telah dilaksanakan bagi tahun 2020 dan 2021 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.59 juta.

“Jeti Kampung Buntulon, Pagalungan yang dirasmikan pada hari ini mencerminkan Kerajaan yang cakna dan prihatin kepada pembangunan infrastruktur berdasarkan keperluan lokaliti setempat.

“Pembangunan tersebut turut diberi keutamaan kepada masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman selaras dengan semangat ‘keterangkuman’ di dalam Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas merasmikian Jeti Buntulon Pagalungan disini hari ini.

Arthur yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata pembinaan jeti itu merupakan pembangunan infrastruktur asas yang signifikan kepada penduduk di sekitar kawasan Pagalungan yang menggunakan sungai sebagai kaedah pengangkutan utama untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

Katanya, pembaikan jeti dengan peruntukan sebanyak RM200,000 akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitar Kampung Buntulon dan kawasan berhampiran.

“Infrastruktur yang inklusif dan dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob selari dengan hasrat ‘tiada yang tertinggal’ yang digariskan di dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Rancangan Malaysia Kedua Belas.

“Dengan sokongan rakyat yang utuh, landskap politik yang stabil yang menjurus kepada pemulihan ekonomi yang lancar akan dapat merealisasikan aspriasi Kerajaan memakmurkan negara dan rakyat di setiap pelusuk kawasan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *