KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengumumkan semua kuliah yang diadakan sepanjang minggu ini akan ditangguhkan.
Timbalan Naib Canselor UMS (Akademik Dan Antarabangsa) Profesor Dr Rasid Mail berkata, penangguhan itu dilaksanakan bermula semalam sehingga Sabtu ini.
Katanya, penangguhan itu adalah bagi meringankan serta membantu mengurangkan beban yang dihadapi oleh pelajar terlibat dengan bencana banjir luar biasa yang melanda beberapa buah negeri minggu lalu.
“Pengurusan tertinggi UMS menyedari bencana banjir luar biasa itu telah menjejaskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di UMS bagi Semester 1 Sesi 2021/2022.
“Oleh yang demikian, bagi meringankan serta membantu mengurangkan beban yang dihadapi oleh pelajar terlibat, UMS mengumumkan semua kuliah untuk tempoh Isnin hingga Sabtu (20 hingga 25 Disember 2021) adalah ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan disini semalam.
Rasid berkata, sepanjang tempoh penangguhan itu, tiada sebarang aktiviti kuliah, tutorial, pentaksiran dan penghantaran tugasan.
Katanya, para pensyarah boleh menggunakan minggu pertama ulangkaji iaitu pada 24 hingga 28 Januari 2022 depan bagi tujuan penggantian kuliah dan tutorial.
“UMS mengambil berat dan prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi oleh pelajar UMS yang terkesan oleh bencana banjir luar biasa tersebut.
“Bagi pihak seluruh warga universiti, pengurusan tertinggi UMS merakamkan rasa simpati dan mendoakan agar semua pelajar UMS dan keluarga mereka yang terkesan oleh bencana banjir luar biasa agar diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Katanya, para pelajar UMS yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) di talian nombor 088-320 060.