HomeUtamaPBS Beri Cadangan Tubuh Jawatankuasa Khas Untuk Selesai Isu Pendatang Tanpa Izin...

PBS Beri Cadangan Tubuh Jawatankuasa Khas Untuk Selesai Isu Pendatang Tanpa Izin Di Sabah

Read Time:3 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) memberi cadangan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas antara parti di bawah Dewan Undangan Negeri bagi mencari penyelesaian jangka panjang kepada isu berterusan melibatkan pendatang tanpa izin dan tanggungjawab mereka yang menetap di Sabah.

Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, partinya menolak cadangan yang ditimbulkan semula untuk mengeluarkan pas sementara khas untuk pendatang tanpa izin di negara ini.

Maximus menegaskan sekiranya cadangan itu diluluskan, ia akan membawa masalah lebih besar kepada isu yang belum diselesaikan. Beliau juga percaya kaedah yang lebih berkesan adalah membentuk jawatankuasa khas antara parti.

“Adalah penting pendekatan tersebut mematuhi undang-undang, sama ada di negeri atau negara. Ia mesti telus dan semua input daripada penggubal undang-undang Sabah perlu diambil kira. Ini adalah pendirian PBS,” katanya ketika menjawab gesaan bekas Ketua Menteri Tan Sri Harris Salleh baru-baru ini mengenai pengeluaran pas sementara khas untuk pendatang tanpa izin, walaupun ia ditolak pada pilihan raya kecil Kimanis pada 2020.

Katanya, PBS tidak akan sewenang-wenangnya bersetuju dengan gesaan Harris kerana undang-undang dan peraturan negara mesti dihormati, dan keselamatan jangka panjang rakyat Sabah, dan rakyat Malaysia di Sabah, mesti dilindungi dan terjamin.

“Di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Sabah mempunyai hak ke atas imigresen, oleh itu, perkara mengenai IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci adalah di bawah Kawalan kerajaan Negeri sepenuhnya.

“Justeru, wajar bagi ahli Dewan Undangan Negeri terlibat dalam menentukan siapa yang boleh tinggal di Sabah secara tetap, atau sebaliknya.

“Sudah tiba masanya untuk Kerajaan Persekutuan dan Negeri mengambil tindakan serius bagi menyelesaikan isu yang telah lama berlarutan ini, tetapi perlu diingat bahawa semua tindakan mesti berpandukan undang-undang negara dan peraturan dalam kuasa Negeri.

“Tiada lagi ruang untuk permainan politik, atau penyalahgunaan undang-undang imigresen. PBS telah lama mengetengahkan isu ini dan mempertahankan bahawa Sabah adalah untuk rakyat asal Sabah dan rakyat Malaysia tulen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu mendedahkan bahawa cadangan sedemikian perlu diteliti melalui perbincangan intensif dan ditapis oleh jawatankuasa khas, terdiri daripada penggubal undang-undang Sabah

Menurut Maximus terdapat dua kategori pendatang tanpa izin di Sabah, satu dikategorikan sebagai pendatang asing yang mempunyai dokumen, manakala satu lagi pendatang tanpa izin tanpa dokumen.

“Kategori yang didokumenkan melibatkan tiga kelas – pemegang IMM13 berjumlah 51,645; kedua, pemegang Kad Burung-Burung berjumlah 36,892; dan ketiga, Sijil Banci berjumlah 47,519. Jika dijumlahkan tanggungan dan ahli keluarga, kumpulan ini dianggarkan setengah juta di Sabah,” jelasnya.

Sementara itu, Maximus turut menyatakan di bawah kategori warga asing tanpa izin, mereka dianggarkan antara satu juta hingga 1.5 juta, termasuk tanggungan mereka.

Tambah beliau, terdapat warga asing yang menerima pas kerja mereka di bawah pelbagai program, seperti program pengampunan yang membolehkan mereka diambil sementara sebagai pekerja asing sama ada oleh syarikat perladangan dan pembinaan melalui agensi kerajaan berkaitan, iaitu jabatan Buruh dan Imigresen.

“Mereka yang tidak diupah atau tinggal di Sabah tanpa dokumen yang sah harus dianggap sebagai menyalahi undang-undang. Mereka seharusnya ditahan dan dihantar pulang.

“Pendirian PBS mengenai pendatang tanpa izin adalah mudah – tangkap dan hantar pulang. Pasukan keselamatan dan penguatkuasaan memainkan peranan penting dalam memastikan mereka ini tidak berada di dalam negeri dan negara kita secara haram.

“Ini adalah perkara yang sangat serius dan sensitif kepada rakyat Sabah dan atas sebab itu, kami di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak telah bersetuju untuk melibatkan diri dengan masyarakat, dan sebarang cadangan dari mereka akan dikemukakan kepada Majlis Khas MA63 (MKMA63), yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” tegas Maximus.

Beliau menambah bahawa di bawah Keselamatan Negeri Sabah dan Sarawak, yang diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri, di mana Sabah dan Sarawak diwakili timbalan ketua menteri dan peguam besar mereka, serta pegawai lain yang berkaitan akan menumpukan perhatian dan usaha untuk menangani isu berkenaan IMM13, Kad Burung -Burung dan Sijil Banci mulai tahun hadapan.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan Semak Semula Arahan MKN No 20 Untuk Mantapkan Mekanisme Pengurusan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya