KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mahu rakyat khususnya di negeri ini meraikan sambutan Hari Krismas dengan penuh kesederhanaan meskipun masih berjuang memerangi wabak COVID-19.
Katanya, meskipun wabak COVID-19 masih belum berakhir, ia bukan halangan untuk rakyat di negeri ini meraikan dengan penuh kemeriahan bersama keluarga tercinta.
“Selamat menyambut Hari Krismas kepada seluruh rakyat Sabah yang meraikannya dan selamat menyambut Tahun Baharu 2022.
“Semoga sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2022 ini akan membawa sinar kegembiraan dan kebahagiaan dalam kehidupan anda sekeluarga,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya disini semalam.
Hajiji turut mengajak rakyat di negeri ini untuk bersama-sama mengenepikan perbezaan dan fokus kepada nilai yang menyatukan dan bukan memecahbelahkan sesama rakyat.
“Ayuh, bersama kita memasang azam dan iltizam untuk berusaha lebih kuat pada tahun 2022 agar apa yang kita hajati akan dicapai dengan jayanya,”katanya.