HomeUtamaAmbil Peluang Terokai Keunikan Seni Warisan

Ambil Peluang Terokai Keunikan Seni Warisan

Read Time:2 Minute, 32 Second

LAHAD DATU: Masyarakat setempat khususnya di daerah ini perlu mengambil peluang terhadap keunikan seni warisan yang ada di tempat mereka.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia akan dapat membantu merealisasikan aspirasi Dasar Pelancongan Negara 2020-2030.

Katanya, aspirasi juga juga akan dapat meletakkan Malaysia sebagai Top of The Mind Ecotourism Destination of The World berdasarkan tarikan semulajadi yang ada.

“Pada hari ini saya berada di Lahad Datu bagi melawat Gua Tepadung untuk mengenalpasti produk pelancongan berpotensi seterusnya dibangunkan bagi membantu komuniti di kawasan Segama menjana ekonomi menerusi aktiviti pelancongan-eko (eco-tourism).

“Saya yakin kelestarian sumber boleh memacu pertumbuhan ekonomi baharu melalui ekopelancongan di samping mewujudkan peluang pekerjaan.

“Adalah penting untuk saya dan pasukan kerja untuk terus turun padang bagi memastikan usaha-usaha membangunkan semula industri pelancongan berada di landasan yang betul dan dapat dicapai dalam jangka waktu yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Gua Tepadung merupakan kawasan penempatan purba masyarakat etnik yang mempunyai pelbagai kisah menarik di sebalik sejarah beribu tahun lalu.

Ia terletak di ulu sungai Segama dan hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit sehingga 2 jam perjalanan menaiki bot untuk sampai ke destinasi ini bergantung dengan keadaan kedalaman air sungai Segama.

Nancy berkata, perjalanan beliau hanya mengambil masa dalam 30 minit berikutan keadaan air sungai Segama yang agak dalam disebabkan musim hujan.

Katanya, Gua Tepadung merupakan tempat persemadian masyarakat purba etnik Ida’an dan hampir 100 gua-gua kecil terdapat di dalam Batu Tepadung ini yang mempunyai tarikan serta pemandangan berbeza antara satu sama lain.

“Gua warisan ini memiliki tarikan tersendiri yang pastinya mampu meletakkan Lahad Datu sebagai destinasi mesti dilawati sekiranya berkunjung ke pantai timur negeri Sabah.

“Kisah lagenda buaya yang dikenali sebagai tarung gari dan burung purba garuda dan ular besar/naga dengan masyarakat setempat merupakan antara pelbagai cerita warisan turun temurun masyarakat etnik Ida’an yang memberi pengalaman penceritaan yang menarik,”katanya.

Katanya, semasa era pendudukan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British atau di kenali juga sebagai British North Borneo Chartered Company di Segama pula, gua Tepadung merupakan pusat pengeluaran hasil sarang burung putih yang dijalankan oleh masyarakat Ida’an secara sistem penggiliran warisan turun temurun.

“Aktiviti ini masih dijalankan sehingga ke hari ini oleh masyarakat etnik Ida’an termasuk di gua-gua sarang burung lain di Pantai Timur Sabah seperti Gua Madai, Gua Baturung, Gua Segerung dan Gua Tegerung mengikut sistem penggiliran warisan yang diamalkan sejak beribu tahun dahulu.

“Saya telah dimaklumkan bahawa sudah ada pelancong luar yang pernah merasai pengalaman berkhemah dan bermalam di kawasan Gua Tepadung untuk menikmati alam semulajadi kawasan ulu sungai Segama ini,”katanya.

Sementara itu, Nancy berkata, antara aktiviti yang boleh dilakukan di kawasan ini termasuklah ‘jungle trekking’, mendaki gua, melawat keranda-keranda purba di dalam gua, memancing ikan, dan menikmati pemandangan matahari terbit di ulu sungai Segama.

“Saya yakin sekiranya aktiviti-aktiviti ini ditawarkan dalam pakej pelancongan-eko (eco-tourism) dengan menonjolkan elemen-elemen seni budaya dan warisan masyarakat etnik tempatan ia akan dapat memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat di sekitar Mukim Segama ini,”katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pendidikan berlandaskan Al-Quran teras lahir modal insan perkasa bangsa, negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya