Long Tiger Mahu Jadikan Rumah Pondan Sebagai Transit Sebelum Lari ke luar Negara

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 39 Second

SUNGAI PETANI: Rumah pondan di Jalan Kuala Ketil di sini dipercayai menjadi lokasi transit Long Tiger untuk meninggalkan negara ini sama ada ke Indonesia atau Thailand.

Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, disyaki menunggu masa sesuai untuk meninggalkan negara ini menerusi sempadan Kedah atau Perlis.

Bagaimanapun, lelaki etnik Rohingya itu tidak akan pulang ke Myanmar.

Utusan Malaysia melaporkan, Ketua Polis Johor, Datok Ayob Khan Mydin Pitchay , Long Tiger mahu menjadikan kediaman rumah sewa seorang pondan berusia 46 tahun di Jalan Kuala Ketil berhampiran Sungai Petani untuk bersembunyi.

Katanya Long Tiger berjaya melarikan diri dari Mahkamah Majistret Tangkak pada 15 Disember lalu selepas dibantu oleh dua lelaki di Batu Pahat dengan seorang bertindak memotong gari dipakainya manakala seorang lagi membeli kad sim untuknya.

Katanya, kedua-dua lelaki berusia 36 dan 38 tahun itu turut ditahan pada pukul 7.25 malam kelmarin dan seorang lagi pada pukul 3 pagi semalam.

“Bersama-sama dua, tangkapan itu polis merampas sepasang gari dan sebilah pemotong besi yang dipercayai digunakan dalam kes terbabit,” kata beliau semalam.

Mengulas lanjut, Ayob memberitahu, siasatan mendapati Long Tiger mengenai lelaki berperwatakan wanita itu melalui Facebook sejak tahun lalu.

“Memang dipercayai rancangan Long Tiger adalah untuk melarikan diri keluar dari negara ini sama ada ke Thailand atau Indonesia, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk bagaimana dia menuju ke utara tanah air,” katanya.

Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui di sekitar rumah tempat Long Tiger ditahan mereka mendakwa pernah ternampak kelibat individu menyerupai Long Tiger sejak kira-kira 10 hari lalu.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Salmah berkata, rumah sewa berpagar sebelum ini sering dikunjungi rakan-rakannya pondan yang turut ditahan terutama pada waktu malam.

“Kebiasaannya, rumah itu akan mula dipenuhi rakan pondan terbabit menjelang senja dengan pintu dan tingkap dibiar terbuka selain sebahagian besar lampu di dalam rumah itu dihidupkan.

“Bagaimanapun, sejak 10 hari lalu, rumah tidak lagi meriah seperti sering berkunci dan hanya lampu di dapur dibiarkan menyala,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang enggan dikenali berkata, dia sering melihat pondan itu keluar menaiki motosikal sambil dibonceng lelaki menyerupai Long Tiger sekitar pukul 1 pagi setiap hari.

“Tingkah laku mereka juga dilihat seperti dalam ketakutan apabila pondan itu akan keluar dari rumah terlebih dahulu sambil memerhatikan sekeliling sebelum diikuti seorang lelaki yang sering memakai topi keledar bertutup penuh.

“Satu lagi perkara yang mencurigakan kami apabila mereka hanya akan pulang ke rumah pada awal pagi sebelum dikesan mengurung diri di dalam rumah itu seharian,” ujarnya.

Katanya lagi, dia turut hairan apabila anak lelakinya yang berusia 11 tahun beberapa kali memberitahu dia dilarang oleh pondan itu bermain di sekitar rumahnya.

“Sebelum ini, kanak-kanak di sini bebas bermain di mana sahaja kerana kampung ini hanya mempunyai 10 buah rumah penduduk keturunan Melayu, tiga buah keluarga India manakala keluarga Cina banyak mendiami di laluan masuk utama ke sini.

“Akhirnya, pada semalam, terbukti apabila pihak polis berjaya menahan Long Tiger yang bersembunyi di rumah pondan terbabit,” katanya.

Kampung tersebut terletak di belakang Pekan Cina Lama di Jalan Kuala Ketil dan hanya kira-kira dua kilometer dari pekan Sungai Petani.

Dalam kalangan penduduk tempatan, kampung ini turut dikenali ‘port gelap’’ kerana pelbagai aktiviti tidak sihat didakwa dijalankan di kawasan kampung itu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *