MAFI Perkenal Dana RM100 Juta Bantu Ringan Kumpulan Sasar Terkesan Banjir

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 56 Second

JELEBU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperkenalkan dana berjumlah RM100 juta di bawah Dana Bangkit Semula Keluarga Agro bagi membantu meringankan bebanan kumpulan sasar yang terkesan akibat banjir yang melanda negara baru-baru ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan mengasingkan 30 peratus daripada peruntukan beberapa program dan inisiatif yang diolah MAFI bagi tahun 2022.

Katanya, ia bagi membantu pengusaha-pengusaha dalam sektor agromakanan yang terjejas akibat banjir.

“Jumlah keseluruhan yang diasingkan di bawah beberapa program dan inisiatif ini adalah sebanyak RM100 juta di mana kita akan memberi keutamaan kepada pengusaha dan golongan sasar merentasi semua subsektor agromakanan yang terjejas.

“Antara program-program di bawah dana ini merangkumi Geran Agropreneur Muda, Geran Agropelancongan, Tabung Bencana Agromakanan, Dana Pembiayaan Mudah di bawah Agrobank, Geran Pemadanan bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Inisiatif MAFI Prihatin Perniagaan, Program Subsidi Baja Pertanian, Program Ladang Kontrak dan Program Rezeki Tani” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas meninjau Projek Perikanan dan Veterinar di Kampung Chennah dan Kampung Esok, Jelebu yang terjejas akibat bencana banjir, disini hari ini.

Dr Ronald berkata, langkah proaktif itu adalah sebagai pemangkin kepada pemulihan perniagaan golongan sasar sektor agromakanan sekaligus menjamin kelangsungan perusahaan masing-masing yang telah terjejas dan memperkukuh rantaian nilai agromakanan di setiap peringkat.

Katanya, sektor agromakanan juga akan mendapat manfaat daripada Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bernilai RM1.4 bilion yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri di mana pihak MAFI akan menyelaras data-data kerugian bagi memastikan mangsa-mangsa banjir di bawah sektor ini mendapat bantuan yang sewajarnya.

“Secara keseluruhannya berdasarkan kepada laporan yang kita terima setakat ini, jumlah keseluruhan anggaran kerugian melebihi RM63 juta melibatkan lebih 4,700 pengusaha untuk semua subsektor agromakanan termasuk perikanan, akuakultur, penternakan, tanaman dan sebagainya.

“MAFI masih dalam proses mendapatkan data-data kerosakan dan kerugian melalui pelbagai jabatan dan agensi di mana jumlah kerugian ini dijangka akan meningkat.

“Jabatan dan Agensi di bawah MAFI akan memastikan semua perusahaan dan perniagaan yang terjejas akan dibangunkan semula dalam usaha menjamin sekuriti makanan negara yang menjadi keutamaan MAFI,” katanya.

Dalam tinjauan itu, Dr Ronald sempat melawat kolam KGC Eco Resort Trading dan Syarikat A One Aquaculture di Kampung Chennah yang telah terjejas.

Manakala, lawatan Dr Ronald ke Kampung Esok mendapati beberapa perusahaan udang galah di kawasan tersebut termasuk Syarikat ES Agro Farm Sdn Bhd yang menternak lembu pedaging, kambing dan rusa di tanah seluas 50 ekar turut terjejas.

Dr Ronald juga telah menyampaikan bakul makanan di bawah inisiatif MAFI Prihatin kepada semua pengusaha ladang yang dilawat.

MAFI melalui DOF akan menyalurkan bantuan kepada pengusaha akuakultur yang terkesan dalam bentuk input ternakan seperti benih ikan, makanan ikan dan peralatan ternakan berdasarkan kadar tertentu.

Berdasarkan kepada rekod, N.Sembilan sahaja mencatatkan seramai 47 orang penternak akuakultur terjejas banjir dengan anggaran kerugian sebanyak RM 13.5 juta meliputi kematian ikan, kerosakan peralatan, kos selenggara sistem ternakan, makanan, benih dan input peralatan. Manakala, Negeri Pahang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 135 penternak akuakultur dengan anggaran kerugian sekitar RM680,000.

Secara keseluruhannya, seramai 243 orang penternak akuakultur dari seluruh negara telah terjejas akibat bencana banjir dengan anggaran kerugian sebanyak RM 18.8 juta.

MAFI berharap agar Dana Bangkit Semula Keluarga Agro serta inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan dapat membantu para petani, peladang, nelayan dan penternak serta pengusaha agromakanan yang terjejas dalam meneruskan kelangsungan perusahaan masing-masing sekaligus memberikan sumber pendapatan yang mampan.

MAFI akan terus mengambil segala tindakan dan usaha bagi memastikan kepentingan kumpulan sasar sektor agromakanan serta sekuriti makanan bagi Keluarga Malaysia secara keseluruhannya terus terjamin.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *