HomeUtamaKerajaan Tangguh Sementara Perjalanan Umrah, 1,306 Jemaah Dikesan Positif

Kerajaan Tangguh Sementara Perjalanan Umrah, 1,306 Jemaah Dikesan Positif

Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini dan tiada sebarang perjalanan mengerjakan umrah selepas tarikh itu sehingga dimaklumkan kemudian.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, ia susulan seramai 1,306 daripada 11,108 jemaah umrah yang tiba di Malaysia telah dikesan positif COVID-19 setakt 30 Disember 2021 lalu.

“Daripada jumlah tersebut, 592 dikesan positif pada ujian pertama semasa hari ketibaan di Malaysia.

“Tetapi paling membimbangkan adalah sebanyak 714 kes dikesan positif COVID-19 pada ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Khairy berkata, bagi tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu, ia ditangguhkan berkuatkuasa 1 Januari.

Katanya, jemaah yang akan belepas ke Tanah Suci pada 1 hingga 7 Januari 2022 adalah dibenarkan untuk meneruskan perjalanan.

“Mereka bagaimanapun perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) apabila tiba di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, penangguhan sementara aktiviti umrah ini dijangka akan dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes COVID-19.

Katanya, langkah itu juga diharap dapat memberi peluang dan ruang kepada kerajaan untuk membuat perancangan serta persediaan rapi dalam pengurusan jemaah umrah sebelum aktiviti umrah boleh dibenarkan semula.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menasihatkan semua jemaah yang baru  pulang dari Tanah Suci dan sedang menjalani kuarantin di rumah atau kediaman, supaya mematuhi SOP dan tatacara kuarantin yang ditetapkan termasuk tempat dan tempoh kuarantin.

“Individu yang dikuarantin tidak dibenarkan menerima kunjungan daripada ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga semasa dalam tempoh kuarantin bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 kepada ahli keluarga, dan seterusnya kepada komuniti,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular