Banjir : Sembilan PPS Dibuka Menempatkan 717 Mangsa Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak sembilan buah Pusat Penempatan Sementara (PPS) dibuka di beberapa buah daerah di negeri ini bagi menempatkan seramai 717 mangsa banjir.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) berkata, antara PPS yang dibuka ialah di daerah Kota Marudu; Paitan; Beluran; Telupid dan Sandakan.

Katanya, jumlah mangsa banjir di Kota Marudu yang sebelum ini seramai 504 mangsa meningkat kepada 557 mangsa ditempatkan di tiga PPS.

Antara PPS yang dibuka di Kota Marudu ialah di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan menempatkan seramai 251 mangsa melibatkan 70 Ketua Isi Rumah (KIR); Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek menempatkan seramai 253 mangsa melibatkan 97 KIR dan Dewan St Theresa 53 mangsa melibatkan 14 KIR.

“Dua PPS di Paitan dibuka iaitu di Dewan SMK Pamol menempatkan tujuh mangsa melibatkan satu KIR dan di Dewan Kampung Binsulung menempatkan 36 mangsa melibatkan lapan KIR.

“Bagi daerah Beluran, hanya satu PPS dibuka setakat ini iaitu di Dewan Kampung Balaban Jaya menempatkan 30 mangsa banjir melibatkan lapan KIR,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Katanya lagi, di Telupid sebanyak dua PPS telah dibuka iaitu di Dewan Kampung Bakong-Bakong yang menempatkan  seramai lima mangsa melibatkan satu KIR dan PPS Dewan Kampung Rancangan Nangoh melibatkan 21 mangsa dengan tiga KIR.

Manakala di Sandakan, hanya satu PPS dibuka iaitu di Masjid Nur Iman Sungai Memanjang menempatkan 61 mangsa melibatkan 10 KIR.

Pertambahan mangsa dan pembukaan PPS di negeri ini berikutan berlaku peningkatan kampung yang terjejas dari semua daerah yang dilanda banjir.

“Di Paitan,sebanyak 16 buah kampung terjejas; Kota Marudu sebanyak 10 buah kampung; Telupid (2); Beluran (1); Sandakan (1); Kinabatangan (1); Lahad Datu (2) dan Ranau (2),” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *